My Add

Thursday 26 January 2012

NUBE nafi dakwaan cuba sabotaj BR1M

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 26 Januari, 2012: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) menafikan dakwaan yang mengatakan badan itu cuba mensabotaj usaha kerajaan membantu golongan memerlukan melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Setiausaha Agungnya, J. Solomon sebaliknya berkata, 'nasihat' agar ahli NUBE tidak terlibat dalam penyerahan bantuan BR1M bernilai RM500 dibuat semata-mata atas dasar untuk menjamin keselamatan pekerja bank.

"Jaminan keselamatan terhadap pekerja-pekerja bank perlu diutamakan sebelum boleh membantu orang lain, jika tidak hasrat kerajaan untuk membantu golongan miskin melalui BR1M sudah pasti tidak akan berjaya.

"Tidak timbul istilah bahawa NUBE mensabotaj usaha kerajaan untuk membantu golongan miskin, sebaliknya kami memberi sokongan penuh kepada usaha sebegini," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai membalas kenyataan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Timur Laut, Pulau Pinang yang mendakwa ada sesuatu tidak kena mengenai surat 'nasihat' NUBE.

Berdasarkan surat bertarikh 13 Januari lalu, NUBE melalui Solomon mendakwa tiada jaminan keselamatan diberi kepada pekerja bank yang ditugaskan membawa wang, selain tiada jaminan pampasan terhadap kepayahan mereka.

Dalam pada itu, Solomon berkata, nasihat tersebut yang dilihat pihak tertentu sebagai menentang arus perlu dihormati kerana NUBE adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin terhadap kebajikan ahlinya.

"NUBE tidak boleh berkompromi terhadap sebarang cubaan untuk mengetepikan soal hak, kebajikan dan keselamatan ahli-ahlinya terutama apabila pihak bank merancang untuk beroperasi di luar dari kebiasaan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment