My Add

Thursday 26 January 2012

Tidak peduli amaran punca lemas

ANGGOTA Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuantan, Nor Ain Zaini (kiri) dan Norfozilawati Mohd Kassim membuat tinjauan sambil mengawasi keadaan di persisiran Pantai Sepat, Kuantan, Pahang, hari ini. Sejak 1 Januari, lima mangsa menjadi korban lemas termasuk tiga nyawa pada hari sambutan Tahun Baru Cina, baru-baru ini. - Foto Azmaidi Abidin


JOHOR BAHRU, KHAMIS, 26 Januari, 2012: Orang ramai, terutama ibu bapa perlu lebih berhati-hati dan mengawasi pergerakan ahli keluarga apabila berkunjung ke pantai sebelah timur negara ini yang masih berada dalam musim monsun.

Setakat ini enam kematian dicatatkan tiga hari berturut-turut sejak Ahad sehingga semalam iaitu dua di Pantai Tanjung Balau dekat Desaru manakala empat di Pantai Temelah, Sedili Besar dan Pantai Tanjung Buloh, Sedili Kecil, Kota Tinggi.

Penolong Pengurus Unit Komunikasi Korporat Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Muhd. Subree A. Rahman berkata, kebanyakan kes lemas berpunca daripada sikap pengunjung yang tidak mengendahkan amaran dan peringatan disediakan.

"Tanjung Balau adalah lokasi peranginan yang dikawal selia oleh Kejora dan kami sentiasa memberi penekanan berkenaan aspek keselamatan kepada para pengunjung selain beberapa inisiatif seperti menyediakan anggota penyelamat yang bertugas 12 jam sehari.

"Selain itu, Kejora juga menyediakan papan tanda peringatan, bendera merah dan kawasan larangan untuk mandi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Muhd. Subree, selain sistem pembesar suara untuk mengingatkan pengunjung agar menghentikan aktiviti, berundur dari kawasan bahaya dan peringatan keselamatan, menara kawalan juga dibina untuk memantau kawasan pantai.

Justeru, katanya, orang ramai perlu sentiasa mematuhi peringatan yang diberikan kerana sehingga Mac ini, sebarang aktiviti air tidak sesuai dijalankan.

Ini bagi mengelakkan kejadian lemas tidak berulang, terutama ketika cuti umum Maulidur Rasul dan Thaipusam nanti.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Azman Mohamed Shah berkata, kes melibatkan Pantai Temelah dan Pantai Tanjung Buloh berlaku di luar kawasan yang diurus selia oleh pihaknya.

Bagaimanapun, katanya, sebagai langkah prihatin kepada masyarakat, MDKT akan melakukan sedaya yang mampu dengan memasang papan tanda amaran di kedua-dua pantai terlibat.

"Bagi pantai terlibat (Pantai Temelah dan Pantai Tanjung Buloh), mereka yang berkunjung perlu lebih berhati-hati dan ibu bapa mesti sentiasa memerhati pergerakan anak mereka, bukan membiarkan anak bermain air," katanya lagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment