My Add

Friday 27 January 2012

Operasi tanpa LPS, tambang mahal antara kesalahan dikesan

KUALA LUMPUR: Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengeluarkan 163 notis kepada pengendali kenderaan pengangkutan awam kerana melakukan pelbagai kesalahan pada musim perayaan Tahun Baru Cina ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Kamal, berkata kesalahan itu termasuk bas beroperasi tanpa Lesen Perubahan Sementara (LPS), mengenakan tambang berlebihan dan kegiatan ulat tiket.

Kesalahan lain meliputi perlanggaran syarat lesen bas, teksi dan lori serta pemandu tidak mempunyai lesen untuk mengendali kenderaan perdagangan, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sejumlah 4,345 kenderaan perdagangan terdiri daripada bas, teksi dan lori diperiksa dalam operasi yang diadakan sejak 16 Januari lalu.

Mohd Nur berkata, kertas siasatan untuk setiap kesalahan dilakukan sudah dibuka dan mereka akan didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat. 

"Jika didapati bersalah, mereka boleh didenda antara RM1,000 hingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun," katanya. 

Beliau berkata, walaupun operasi khas SPAD tamat pada 30 Januari ini, pihaknya akan sentiasa memantau kesalahan yang dilakukan pengendali pengangkutan awam darat dan tidak menunggu pada musim perayaan saja. 

SPAD, sebuah badan berkanun, ditubuhkan pada 3 Jun 2010 berfungsi untuk menasihat dan menyediakan dasar pengangkutan awam darat, membuat perancangan, menjalankan pengawalseliaan dan penguatkuasaan undang-undang mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment