My Add

Friday 27 January 2012

Usah terpedaya helah DAP: Muhyiddin

PUTRAJAYA, JUMAAT, 27 Januari, 2012: Orang Melayu diingatkan jangan sesekali terpedaya dan terperangkap dengan tipu helah DAP yang memang sejak penubuhan parti itu, ia langsung tidak pernah memperjuangkan kepentingan orang Melayu. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata apa jua tindakan parti itu hanyalah helah semata-mata demi untuk menarik sokongan orang Melayu.

"Kenapa baru sekarang dia nak jemput orang Melayu, saya tak tahulah apa tujuan dia, tapi kita dah tahu sejarah DAP ini, jadi orang Melayu kena faham lebih-lebih lagi bila dia menekankan Malaysian-Malaysiannya.

"Dia kata dia bukan parti perkauman, dia kata dia parti multi-racial (pelbagai kaum) tetapi dari segi amalan dan apa yang telah dilakukan oleh DAP sejak ditubuhkan sampai sekarang pun jelas terbukti (ia) parti yang chauvinist," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Muhyiddin berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan wartawan berhubung kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, bahawa lebih ramai orang Melayu akan menyertai parti itu. 

Beliau turut mempersoalkan kenapa sekarang baru sibuk untuk menjemput orang Melayu, sedangkan parti itu agak bersifat perkauman dan nampak jelas langsung tidak mengambil kira kepentingan orang Melayu. 

"Jadi sekarang baru sedar, bila dah ada pihak yang mengatakan tiada wakil Melayu, mungkin dia nak merancang setengah negeri itu nak diberikan kepada wakil Melayu yang dijanjikan bakal jadi EXCO, ketua kerajaan atau pun Menteri Besar baru," katanya. 

Muhyiddin berkata, bagi orang yang sudah lama dalam parti politik mereka akan faham benar ia cuma helah pilihan raya sahaja dan diharapkan orang Melayu dapat memahami secara mendalam sejarah DAP itu. 

"Latar belakang, perjuangan dan suara lantang DAP apakah dia mewakili orang Melayu, jadi jangan mudah terpedaya kerana dekat pilihan raya ini pelbagai tawaran akan dibuat. 

"Akan letak calon-calon Melayulah, nak ambil lebih ramai orang Melayulah dan jika ada pihak yang tidak memahami sejarah perjuangan DAP mereka akan mudah terjebak dengan gaya politik DAP," katanya. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi beliau DAP langsung tidak mengambil kira soal kepentingan orang Melayu berdasarkan rekod sejarah yang lalu. 

"Apa isu yang disuarakan, soal pendidikan pun dia tidak pernah menyuarakan soal pendidikan kebangsaan, sebaliknya soal pendidikan Cina sahaja, walau pun pendidikan Cina diberi perhatian oleh kerajaan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment