My Add

Monday 23 January 2012

Padah tidak lapor kes denggi

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN

KUALA LUMPUR, ISNIN, 23 Januari, 2012: Enam pegawai perubatan di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya ditahan berikutan gagal melaporkan kes demam denggi yang sedang dirawat di hospital berkenaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, enam pegawai tersebut dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 seorang dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM6,000.

Menurutnya, sebanyak 213 kes demam denggi dari daerah Petaling Jaya dirawat di hospital berkenaan pada tahun lalu.

Bagaimanapun sebanyak enam kes demam denggi tidak dilaporkan.

“Tindakan yang serupa akan diambil terhadap mana-mana pengamal perubatan di klinik atau hospital tidak kira swasta atau kerajaan jika didapati tidak melaporkan kes demam denggi yang dirawat di tempat mereka.

“Mereka sepatutnya melaporkan kes berkenaan kepada pejabat kesihatan yang berdekatan supaya jumlah kes demam denggi yang berlaku dapat dikenalpasti,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Tiong Lai berkata, kementeriannya akan sentiasa memantau klinik serta hospital swasta dan kerajaan bagi memastikan semua kes demam denggi yang dirawat dilaporkan ke pejabat kesihatan yang berdekatan.

“Saya menyeru semua pengamal perubatan agar lebih bertanggungjawab dan segera melaporkan semua kes demam denggi bagi mengekang penyakit demam denggi daripada terus merebak,” katanya.

Sementara itu, Tiong Lai berkata, sejumlah 481 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh dua minggu pertama pada tahun ini.

Katanya, walaupun bilangan kes demam denggi pada tahun lalu menurun berbanding tahun sebelumnya namun bilangan kes demam denggi pada dua minggu pertama tahun ini didapati meningkat.

“Begitu juga dengan kes kematian di mana terdapat dua kematian pada tahun ini,” katanya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment