My Add

Thursday 5 January 2012

Pasar TTDI akan dijadikan hab MRT, pusat penjaja

RAJA Nong Chik Raja Zainal Abidin (tengah) mempengerusikan sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan DBKL, persatuan penjaja dan Persatuan Penduduk TTDI di Putrajaya mengenai isu pembangunan semula Pasar Besar TTDI semalam.


PUTRAJAYA, KHAMIS, 05  Januari, 2012: Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) mencapai persetujuan dengan persatuan penduduk dan Persatuan Penjaja Pasar Besar Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) untuk membangunkan kawasan Pasar Besar TTDI dengan mengekalkan pusat perniagaan sedia ada.
Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, di samping itu persatuan tersebut juga bersetuju supaya kawasan tersebut dijadikan hab MyRapid Transit (MRT).

"Yang pasti hasil daripada perbincangan awal ini kedua-dua pihak sama-sama menang di mana penjaja dapat tingkatkan perniagaan mereka manakala penduduk pula dapat MRT dan pasar di tempat sama.

"Cuma sekarang ini perlu dibincangkan lagi bagaimana kaedah pemindahan sementara ke tempat bersesuaian dan antara lokasi dipilih ialah kawasan tempat letak kereta pusat beli-belah Jusco," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kedua-dua persatuan tersebut di pejabatnya di sini, semalam.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail.

Dalam pada itu, Raja Nong Chik berkata, projek pembangunan itu masih di peringkat cadangan dan kerajaan belum melantik mana-mana syarikat menguruskannya lagi.

Penduduk dan penjaja, katanya, tidak perlu risau terhadap khabar angin bahawa pasar sedia ada akan dirobohkan tanpa dimaklumkan terlebih dahulu.

"Saya hendak jelaskan bahawa tiada satu pun syarikat ditawarkan untuk membangunkan kawasan itu lagi dan DBKL pun hanya baru terima cadangan-cadangan jadi dakwaan pemaju mahu mendirikan kondominium dan sebagainya tidak benar.

"Penduduk serta penjaja berkenaan juga jangan risau," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment