My Add

Thursday 5 January 2012

Pelihara warisan Islam-PUM

Oleh AZRAI MOHAMMAD

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 05 Januari, 2012: Kerajaan Pas Kedah diminta tidak terlalu bersikap angkuh dengan kuasa yang ada hingga sanggup merobohkan Madrasah Salihiah, Kanchut di Alor Setar.

Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, kerajaan negeri Kedah sepatutnya mengambil kira pandangan rakyat yang tidak mahu madrasah itu dirobohkan.

"Sekiranya kerajaan negeri kata madrasah itu boleh diganti baharu, sebenarnya ia akan menghilangkan warisan Islam yang patut dibanggakan.

"Lihatlah di Sepanyol yang ditadbir oleh orang Kristian, mereka menjaga bangunan-bangunan warisan Islam yang berusia ratusan tahun," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai isu cadangan merobohkan madrasah berusia kira-kira 100 tahun itu oleh kerajaan Pas Kedah bagi memberi laluan kepada pembinaan sebuah kompleks membeli-belah.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) semalam memfailkan permohonan injunksi untuk mempertahankan rumah ibadat itu.

Mohd. Roslan berkata, isu itu perlu dijadikan pengajaran kepada semua kerajaan negeri agar lebih prihatin dalam soal menjaga kepentingan agama.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee pula berkata, sebagai sebuah kerajaan negeri yang menguar-uarkan perjuangan Islam, mereka seharusnya faham sensitiviti umat Islam berkaitan rumah ibadat.

"Umat Islam mungkin tidak akan membantah sekiranya tapak madrasah itu mahu dibangunkan sekolah agama, rumah anak yatim atau kompleks pusat Islam.

"Tapi pembangunan kompleks membeli-belah membuatkan ia sudah tidak eksklusif kepada umat Islam. Jadi, pada pandangan masyarakat kerajaan negeri tidak mempertahankan Islam," ujarnya.

Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Abu Bakar berkata, sekiranya tindakan tersebut diteruskan, ia merupakan sesuatu yang amat malang bagi umat Islam khususnya penduduk di sekitar madrasah itu.

"Madrasah itu adalah tempat beribadat dan berkumpul untuk merapatkan silaturahim. Ia menguatkan lagi perpaduan umat, jadi seharusnya kerajaan negeri memikirkan untuk memperbesarkannya bukan dirobohkan," ujarnya. - UTUSN

No comments:

Post a Comment