My Add

Tuesday 24 January 2012

Penduduk bantah pindah kubur

Oleh ABD RAZAK OSMAN

SUNGAI PETANI, SELASA,  24 Januari, 2012: Hampir 500 penduduk dari beberapa buah kampung di sekitar mukim Sidam Kiri di sini membantah kerja-kerja pemindahan kubur lama ke tapak baharu berikutan pelaksanaan projek tebatan banjir di kawasan itu yang dijangka bermula tidak lama lagi.

Mereka mendesak pihak berkaitan, termasuk Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) dan Jabatan Mutfi Negeri Kedah mengkaji semula operasi pemindahan itu demi kebaikan penduduk kampung.

Dakwa mereka, tidak ada sebab kerja-kerja pemindahan kubur lama itu perlu dilakukan kerana kawasan tersebut belum pernah dinaiki air.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemindahan kubur itu, Zulkifli Idrus, 46, berkata, dia kecewa jika operasi pemindahan itu tetap diteruskan kerana kubur yang terletak berhampiran Masjid Jamek Sultan Abdul Halim, Sidam Kiri tersebut telah wujud lebih 50 tahun lalu.

Menurutnya, kebanyakan penduduk di Kampung Pantai Edau, Olak Madu, Lubuk Saga, Banggol, Padang Mahligai, Padang Buluh, Kubang Sapi, Lubuk Kiat dan Kemumbong Kuala yang meninggal dunia dikebumikan di tanah perkuburan berkenaan.

"Buat masa ini, kami tetap membantah kerana ramai daripada keluarga kami telah dikebumikan di tanah perkuburan lama ini," katanya di sini, semalam.

Menurut Zulkifli, semasa ukuran pertama dilakukan, kawasan perkuburan berkenaan tidak terlibat langsung dengan projek tebatan banjir itu tetapi apabila kali kedua dibuat, banyak kubur lama terpaksa dipindahkan pula.

Tegasnya, penduduk mahu pihak berkuasa menggunakan kaedah lain yang tidak menjejaskan kawasan kubur itu dan bersedia mengadakan perbincangan bagi tujuan tersebut.

Sementara itu, seorang penduduk, Azmi Alang, 46, berkata, dia terkejut apabila mendapat tahu banyak kubur anggota keluarganya yang terpaksa dipindahkan ke kawasan perkuburan baharu yang disediakan oleh pemaju projek tebatan banjir itu.

Katanya, perkara itu perlu dipandang serius, bahkan kawasan tersebut adalah tempat tinggi dan selamat daripada ditimpa banjir besar.

"Kami bukan penghalang untuk kerja-kerja pemindahan itu, kalau boleh kami ingin mendapatkan pandangan dari majlis agama dengan memberi alasan yang munasabah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment