My Add

Tuesday 24 January 2012

Kukuhkan perpaduan – Mohamad

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI

SEREMBAN, SELASA, 24 Januari, 2012: Penduduk negeri ini diminta menjadikan perpaduan sebagai asas keharmonian dan kemakmuran biarpun terdapat perselisihan dari segi pandangan mahupun ideologi politik ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, musim perayaan Tahun Baru Cina yang disambut oleh masyarakat Tionghua di negeri ini dilihat sebagai satu platform terbaik untuk mengeratkan lagi perpaduan kaum menerusi tradisi kunjung-mengunjung.

Jelas beliau, Tahun Naga Air yang disambut pada tahun ini diharap menjadi simbol untuk semua pihak bekerja lebih gigih selain mengeratkan persaudaraan yang dijalin sejak negara merdeka.

“Pada masa yang sama, saya juga berharap agar tradisi kunjung mengunjung akan diteruskan supaya kita sama-sama meraikan kegembiraan di negeri ini,” katanya pada Majlis Pertemuan Mesra Tahun Baru Cina di Temiang dekat sini semalam.

Kaum Cina juga, kata Mohamad, perlu bersama-sama kaum lain dan kerajaan negeri untuk menghadapi situasi ketidaktentuan ekonomi ketika ini.

“Walaupun kita berhadapan dengan krisis ekonomi yang kian menghimpit dunia, kita berharap dengan adanya sokongan rakyat, kita mampu keluar daripada kemelut itu dengan cara dan acuan kita sendiri.

“Pada masa yang sama kita harus bekerja dengan lebih kuat untuk mengharungi apa sahaja cabaran yang datang,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad menjelaskan, jasa dan pengorbanan generasi terdahulu tidak harus dilupakan kerana merekalah yang merupakan pejuang hingga menjadikan masyarakat ketika ini berada dalam suasana makmur dan harmoni.

Beliau juga melahirkan rasa dukacita terhadap sikap segelintir masyarakat yang semakin melupakan jasa generasi terdahulu termasuklah ibubapa yang terpaksa merempat biarpun mempunyai anak-anak yang berjaya dalam hidup dan kerjaya.

“Ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Biarpun kita kadangkala ghairah untuk menempa kejayaan namun tugas menjaga ibu bapa sepatutnya terus digalas kerana itu merupakan tanggungjawab kita,” katanya.

Kata Mohamad, kerajaan akan terus memastikan rakyat hidup sejahtera melalui perancangan pembangunan yang tersusun dan diatur demi kesejahteraan semua.

“Marilah bersama memainkan peranan untuk terus membina kehidupan yang aman damai dalam sebuah negara yang bertuah ini,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad mengajak semua lapisan masyarakat berganding bahu untuk bersama-sama menjalankan tugas sebagai individu yang merdeka bagi memastikan negara ini terus aman dan sejahtera. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment