My Add

Friday 6 January 2012

Penganjur terdesak hasut mahasiswa tinggalkan universiti

KOTA BHARU, JUMAAT, O6 Januari, 2012: Penganjur kempen Bebaskan Anwar 901 semakin terdesak sehingga sanggup menghasut mahasiswa supaya meninggalkan universiti dan rumah semata-mata untuk terlibatkan dalam perhimpunan haram yang boleh menjejaskan ketenteraman negara.

Ia terbukti melalui kain rentang berbunyi "Kami bangga dengan mahasiswa, Ayuh... Tinggalkan universiti tinggalkan rumah, kita ke Perhimpunan Bebas Anwar 901" yang dipasang di Jalan Che Su dekat sini.

Tindakan memasang kain rentang itu yang kemudiannya diturunkan pihak tertentu, bertentangan dengan amaran Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman supaya mana-mana pihak tidak mencetuskan suasana tidak tenteram di negeri ini.

Berikutan itu, pelbagai pihak di negeri ini membidas tindakan penganjur perhimpunan haram terbabit yang jelas terdesak meraih sokongan mahasiswa bagi menyelamatkan pemimpin mereka yang sepatutnya diadili melalui proses mahkamah.

Ketua Pemuda UMNO negeri, Anuar Safian berkata, tindakan pembangkang mengheret sama pelajar universiti dalam perhimpunan haram itu jelas tindakan politik bankrap dan tidak bertamadun.

"Kita kecewa dan sedih kerana pelajar universiti dijadikan alat oleh pembangkang. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia melibatkan masa depan pelajar dan negara. Kita berharap mahasiswa tidak termakan hasutan atau ajakan seperti ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, Presiden Gerakan Selamatkan Kelantan (Gasak), Nor Azli Ahmad berkata, tindakan mengheret sama mahasiswa ke jalanan hanya akan mencetuskan huru-hara dan tidak ubah seperti satu ugutan kepada sistem perundangan negara.

"Kita desak mahasiswa tidak terikut-ikut, sebaliknya lebih menumpukan perhatian kepada pelajaran. Ini masalah mahkamah dan kita tidak perlu campur tangan. Mahasiswa patut fikirkan secara matang kerana mereka tidak patut memperjuangkan kepentingan seorang individu," katanya.

Presiden Angkatan Generasi Melayu Muda (Agenda), Mohamad Zaidan Abdul Rahim pula berkata, mahasiswa boleh mengambil tahu dan terlibat dalam politik tetapi jangan sampai mereka dipergunakan oleh pihak berkepentingan. - UTUSAAN

No comments:

Post a Comment