My Add

Friday 6 January 2012

Lebih 15 NGO kecam Anwar 901

 TUNKU Azwil Tunku Abdul Razak (dua kiri) dan Zulkifly Sharif (tiga kiri) memakai topeng Mohd. Saiful Bukhari sebagai bantahan terhadap Kempen Bebaskan Anwar 901 pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AZWAN ZAHAR

Oleh ABD. HALIM HADI TALIB
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 06 Januari, 2012: Lebih 5,000 ahli daripada lebih 15 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan berkumpul di pekarangan Mahkamah Tinggi Jalan Duta di sini bagi mengecam perhimpunan 'Kempen Bebaskan Anwar 901', pada Isnin ini.

Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Tunku Azwil Tunku Abdul Razak berkata, selaku penganjur, PPIM dan Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas) akan hadir di tempat dan masa yang sama sekiranya perhimpunan haram itu diteruskan.

"Tujuan kita adalah untuk memberitahu penyokong Anwar bahawa mereka juga bakal berdepan dengan sekumpulan rakyat yang mahu mempertahankan keamanan dan kesejahteraan negara.

"Gerakan ini bukan gerakan politik tertentu tetapi perhimpunan ahli-ahli dari pelbagai pertubuhan yang mahu mempertahankan kedaulatan dan sistem kehakiman negara,'' katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Antara NGO yang akan menyertai perhimpunan itu adalah Putra Malaysia, Pertubuhan Panel Ayahanda Penasihat Insan Malaysia (Papim), Persatuan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (Pewaris) dan Pertubuhan Kebajikan Melayu Klang.

Selain bantahan terhadap demonstrasi jalanan itu, perhimpunan PPIM dan Permas itu juga diadakan bagi membela nasib Mohd. Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa diliwat oleh ketua pembangkang itu.

Berikutan itu, PPIM dan Permas juga akan membuat laporan polis di Balai Polis Sentul sebagai bantahan kepada ancaman yang ditimbulkan daripada perhimpunan haram anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut.

Sehingga kelmarin, sebanyak 486 laporan polis telah dibuat di seluruh negara bagi membantah Kempen Bebaskan Anwar 901 tersebut.

Lebih membimbangkan tambahnya, tindakan provokasi untuk meraih simpati politik itu mungkin mencetuskan satu konflik yang tidak dapat dielakkan.

"Perhimpunan itu bukan sahaja langsung tidak mencerminkan budaya masyarakat Melayu Islam malah berisiko meletakkan negara dalam keadaan kucar-kacir.

"Mungkin itu yang dimahukan oleh ketua pembangkang itu sebagai jalan terakhir jika beliau didapati bersalah,' katanya.

Persoalan utama katanya, mengapa harus Anwar kebal daripada tindakan undang-undang sedangkan ahli politik lain di negara ini tidak pernah terlepas daripada tindakan undang-undang.

Sementara itu, Setiausaha Agung Permas, Zulkifly Sharif berkata, Kempen Bebaskan Anwar 901 yang penuh provokasi itu tidak seharusnya dibiarkan kerana ia jelas dirancang demi kepentingan politik Anwar.

Sedangkan ujarnya, penyokong tunjuk perasaan itu tidak mempunyai hak untuk menuntut pembebasan Anwar kerana keputusan mahkamah masih belum diumumkan.

"Permas melahirkan rasa amat dukacita dengan demonstrasi yang jelas berunsur politik dan amat biadap ini.

"Tindakan mereka ini seolah-olah mereka sudah dapat menjangkakan bahawa Anwar akan dijatuhkan hukuman dan semestinya mereka dalam keadaan terdesak,'' katanya.

No comments:

Post a Comment