My Add

Wednesday 25 January 2012

Pengiktirafan NYT tarik pelancong ke Melaka

SEBAHAGIAN pelancong melawat bangunan bersejarah, Kota A Famosa yang menjadi salah satu lokasi popular di Banda Hilir, Melaka, semalam. 

MELAKA, RABU, 25 Januari, 2012: Cuti panjang sempena sambutan Tahun Baru Cina tidak disia-siakan begitu sahaja apabila ramai yang memilih Banda Hilir sebagai destinasi beriadah bersama keluarga.

Bagaikan sudah menjadi kelaziman, tidak kira pengunjung tempatan mahupun dari luar negara, negeri yang tahun ini menyambut ulang tahun penubuhan yang ke-750 tahun itu sesungguhnya tidak pernah sunyi dari tumpuan ramai.

Tidak hairanlah apabila nama Melaka diangkat sebagai antara 45 destinasi tumpuan utama dunia tahun ini seperti yang dilaporkan oleh New York Times (NYT) baru-baru ini menarik perhatian pelancong datang ke sini.

Pelancong dari Australia, Adam Collie, 26, yang berkunjung ke negeri ini sejak Ahad lalu tidak menafikan faktor sejarah yang wujud sejak ratusan tahun lalu antara tarikan utama dia memilih Melaka sebagai destinasi percutian.

"Ini pertama kali saya ke Melaka dan saya amat tertarik dengan pelbagai bangunan sejarah yang ada.

"Di Banda Hilir sahaja saya amat tertarik dengan kapal besar yang menyimpan sejarah tersendiri serta Jonker Walk yang mempunyai pelbagai barangan menarik untuk dibeli," katanya.

Dalam pada itu, rakannya, Mina Badamchi, 28, berkata, pelbagai informasi tentang Melaka diceritakan oleh rakannya yang menetap di negara ini.

Kata Mina, biarpun ini merupakan kunjungan pertamanya ke negeri itu namun, dia cukup tertarik dengan panorama bangunan bersejarah yang masih terpelihara di Banda Hilir sehingga ke hari ini..

Kesesakan yang melanda Banda Hilir sejak Sabtu lalu bukan masalah besar bagi golongan peniaga kerana inilah waktu yang sentiasa dinanti-nantikan bagi memperoleh hasil niaga yang berkali ganda.

Nazhrudin Abu Chek yang merupakan peniaga barangan kraf tangan dan cenderamata di A Famosa mendapati hasil perniagaan menjadi berlipat kali ganda pada cuti umum berbanding hari biasa.

Begitu juga dengan penarik beca, Kasim Hassan, 47, yang menganggap kunjungan pelancong yang ramai sempena hari cuti umum sebagai rahmat serta punca rezeki buatnya.

"Memang banyak bezanya kalau hari cuti umum dengan hari biasa kerana inilah masanya kami (penarik beca) boleh meraih lebih ramai penumpang sekali gus menambah hasil pendapatan.

"Kebiasaannya yang gemar menaiki beca 80 peratus adalah pengunjung dari dalam negara. Kalau pengunjung dari luar kebanyakannya datang bersama agen perlancongan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment