My Add

Wednesday 25 January 2012

Teruja sambut tahun baru di Malaysia

KUALA LUMPUR, RABU, 25 Januari, 2012: Sambutan Tahun Baru Cina di Malaysia yang meriah di samping mengekalkan tradisi budaya kaum itu, menjadi tarikan kepada pelancong asing berketurunan Cina yang turut merayakan Tahun Naga Air di negara ini.

Pelancong dari Hong Kong, Li Mei Ling, 48, berkata, dia amat teruja dengan sambutan penuh meriah malam tadi, di mana mercun dan bunga api dibakar bagi menandakan bermulanya Tahun Naga Air.

Li yang melancong ke Malaysia bersama suami dan anaknya berkata, mereka sangat teruja dapat menyaksikan pertunjukan bunga api pada malam Tahun Baru Cina kerana di Hong Kong persembahan bunga api oleh kerajaan hanya boleh diadakan pada hari kedua sambutan Tahun Baru Cina.

"Hong Kong hanyalah sebuah negara pulau kecil dan terlalu banyak bangunan. Jadi kerajaan melarang pertunjukan bunga api (secara individu) semasa Tahun Baru Cina bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini," katanya.

Seorang penuntut National University of Singapore, Elena You, 20, yang pertama kali melawat negara ini amat gembira menyambut Tahun Baru Cina di sini kerana berpeluang mempelajari budaya serta adat masyarakat kaum Cina di Malaysia.

Penuntut jurusan Matematik yang berasal dari China itu berkata, dia berada di negara ini selama tiga hari kerana mengikuti lawatan sambil belajar bersama-sama 100 pelajar universiti itu.

"Dari lawatan singkat ini, saya dapat banyak belajar mengenai kebudayaan dan merasakan pelbagai makanan sedap yang sangat istimewa dan tidak terdapat di negara saya," katanya yang ditemui di Taman Burung, di sini, semalam.

Sepasang kembar dari Ireland yang hanya mahu dikenali Lyn dan Linda kelihatan sangat bergaya mengenakan Cheongsam semasa ditemui di KLCC ketika mereka leka menikmati makanan di sebuah restoran makanan segera.

"Kita bergaul dengan penuntut tempatan di kolej kita dan kita bangga memakai pakaian tradisional ini kerana kita ada kawan Cina yang selalu memakainya di kolej," kata Lyn yang sedang menuntut di salah sebuah kolej tempatan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment