My Add

Friday 27 January 2012

Perbadanan Putrajaya, UPM meterai kerjasama pintar

SAMSUDIN Osman (tengah) bertukar-tukar dokumen perjanjian bersama Mohd. Salleh Jaffar pada Majlis Menandatangani MoU antara UPM dan PPJ di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA, JUMAAT, 27 Januari, 2012: Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) akan mengadakan kerjasama pintar dalam bidang-bidang berpotensi untuk diterokai dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak semalam.

Presiden PPj, Tan Sri Samsudin Osman berkata, inisiatif itu adalah usahasama yang julung-julung kali dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia.

Katanya, pelaksanaan MoU tersebut dimudah cara melalui satu jawatankuasa bersama yang mana pihak UPM diwakili oleh Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina, manakala PPj pula diwakili Jabatan Landskap dan Taman.

"Pelaksanaan MoU ini tidak mengikat kedua-dua pihak kepada apa-apa persetujuan yang melibatkan peruntukan perbelanjaan atau geran khusus, sebarang program dan projek boleh dilaksanakan secara berasingan atau bersama mengikut kesesuaian.

"Antara bidang yang berpotensi untuk diterokai adalah taman-taman awam. Pihak UPM juga boleh menjalankan projek-projek penyelidikan dan pemerhatian di Putrajaya dan hasil kajian ini boleh dikongsi untuk manfaat bersama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis menandatangani MoU bersama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Salleh Jaffar di Dewan Sri Siantan, Kompleks PPj di sini.

Menurut Samsudin, melalui kerjasama itu juga PPj boleh menggunakan kemudahan penyelidikan dan mendapatkan khidmat analisis di makmal-makmal tertentu di UPM dengan kerjasama dan pengawasan pihak akademik.

"Kedua-dua pihak boleh berkongsi menggunakan fasiliti seperti dewan kuliah, dewan persidangan, makmal dan sebagainya dalam menganjurkan sesuatu program antaranya forum, seminar, persidangan yang dianjurkan secara bersama," katanya.

Dalam pada itu, katanya, kedua-dua belah pihak juga boleh bertukar-tukar pegawai untuk mendapatkan pengalaman di samping meluaskan pengetahuan dalam bidang-bidang tertentu yang relevan terutamanya berkaitan inisiatif hijau dan melestarikan persekitaran serta pembangunan mampan.

"Para pelajar UPM juga boleh mengadakan latihan amali di Putrajaya dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan pengajian masing-masing," katanya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment