My Add

Friday 27 January 2012

Skim khas bantu beli PPR

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 27 Januari, 2012: Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar akan melancarkan skim khas bagi membantu penyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) yang kurang mampu memiliki kediaman sendiri.

Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, skim di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan yang akan dilancarkan pada Mac depan itu adalah kerjasama kementerian dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Melalui skim ini, kita akan membantu penyewa-penyewa PPR dan PA khususnya yang dikehendaki berpindah dari rumah mereka agar dapat membeli rumah baru yang lebih selesa.

“Kita sedia maklum terdapat bank-bank yang enggan memberi pinjaman kepada golongan ini disebabkan faktor kurang berkemampuan membayar balik pinjaman, umur atau nama pemohon telah disenarai hitam,” katanya kepada Bernama selepas ditemu bual dalam program “Ala-Carte Pagi” Bernama Radio24 di sini, semalam.

Raja Nong Chik berkata, melalui skim itu nanti, beberapa kelayakan tertentu dan syarat yang lebih fleksibel akan dikenakan kepada pemohon.

Katanya, setiap pemohon dibenarkan meminjam sebanyak RM35,000 dan akan diingatkan agar membayar balik wang pinjaman tersebut kerana ia melibatkan duit rakyat yang dikendalikan oleh KWSP.

Terdahulu, dalam temu bual yang berlangsung selama satu jam bermula pada pukul 8.30 pagi itu, Raja Nong Chik turut menyentuh mengenai Perbadanan Kampung Baru yang akan ditubuhkan pada April depan.

“Kita telah mengenal pasti kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan untuk dijadikan sebagai perintis, selain itu kita juga akan bekerjasama dengan pemilik tanah yang secara sukarela mahu tanah mereka dibangunkan,” katanya.

Raja Nong Chik dalam masa yang sama turut menolak persepsi sesetengah pihak yang beranggapan projek pembangunan semula Kampung Baru dalam program Transformasi Kuala Lumpur atau ”Greater KL” bertujuan menghapuskan elemen sejarah dan tradisi yang dimiliki penduduk. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment