My Add

Thursday 26 January 2012

Perkeso nafi lambat selesai tuntutan

LIM Yu Tian (kiri) menerima cek pampasan daripada Chris Lee Ching Yong sambil diperhatikan oleh Jamalluddin Mohamad di Muar, Johor, baru-baru ini.

MUAR, KHAMIS, 26 Januari, 2012: Dakwaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini tidak bersikap adil dan sukar untuk berurusan semasa membuat tuntutan pampasan adalah tidak benar sama sekali.

Pegawai Khas Menteri Besar, Chris Lee Ching Yong berkata, pihaknya ada menerima aduan mengenai dakwaan itu tetapi ia merupakan kes terpencil kerana terdapat maklumat yang tidak tepat dan palsu.

"Dalam beberapa kes terdahulu terdapat sebahagiannya sukar membuat tuntutan kerana didapati mengandungi maklumat tidak tepat dan berunsur penipuan. Keadaan ini menyebabkan urusan tuntutan pampasan menjadi lewat sehingga membebankan kehidupan mereka sendiri.

"Saya ingin menasihati orang ramai yang ingin membuat tuntutan supaya memberikan maklumat yang tepat dan bersikap jujur," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan 10 cek pampasan faedah Perkeso sempena Tahun Baru Cina di Pejabat Perkeso Muar, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir Pengurus Perkeso cawangan Muar, Jamalluddin Mohamad; Timbalannya, Salmah Sabran dan Ketua Unit Faedah, Norizan Mohd. Sari.

Dalam pada itu, Ching Yong meminta mana-mana majikan yang masih tidak membuat caruman supaya segera berbuat demikian untuk kebajikan pekerja sebelum berlaku sebarang insiden tidak diingini.

Sementara itu, salah seorang penerima, Lim Yu Tian, 32, bersyukur menerima cek pampasan hilang upaya kekal berjumlah RM47,491 dan ia tambah bermakna apabila diperoleh dalam suasana perayaan Tahun Baru Cina.

Katanya, wang tersebut akan digunakan untuk kos rawatan susulan perubatan di Hospital Mahkota Melaka selepas ditimpa kemalangan semasa bekerja di kilang aluminium di Kawasan Perindustrian Bukit Pasir, dekat sini, pada 1 Oktober lalu.

"Saya mengalami kecederaan tulang belakang sehingga memaksa mengambil cuti sakit selama tiga bulan. Kejadian berlaku sangat pantas ketika saya cuba mengangkat kotak berisi barangan aluminium, tiba-tiba pinggang berasa sakit dan tidak boleh berdiri tegak," katanya.

Menurut bapa dua anak yang berumur enam dan tiga tahun itu, dalam tempoh tiga bulan tidak bekerja, isterinya, Neo Ai Lee, 31, menanggung kehidupan mereka sekeluarga. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment