My Add

Thursday 26 January 2012

RM4b tingkat kesihatan di Sabah

LIOW Tiong Lai (depan lima dari kanan) bersama para tetamu yang menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA di Kota Kinabalu, kelmarin.

Oleh HISYAMUDDIN AYUB
KOTA KINABALU, KHAMIS, 26 Januari, 2012: Kementerian Kesihatan akan memperuntukkan sejumlah RM4 bilion dalam usaha meningkatkan kemudahan dan keberkesanan perkhidmatan kesihatan di Sabah pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, peruntukan besar tersebut melibatkan beberapa projek menaik taraf klinik kesihatan dan menambah bilangan doktor di negeri ini.

Katanya, kementerian akan menaik taraf 41 buah klinik kesihatan di seluruh negeri dengan kos melebihi RM20 juta, selain meningkatkan bilangan doktor yang ditugaskan di klinik tersebut daripada 25 peratus kepada sekurang-kurangnya 50 peratus.

“Selain itu, sebanyak 10 lagi Klinik 1Malaysia akan diwujudkan di negeri ini pada tahun ini. Ia jelas menunjukkan komitmen tinggi kerajaan untuk membela nasib rakyat Sabah dalam aspek kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA di Dewan Sekolah Tinggi Kota Kinabalu, di sini kelmarin.

Hadir sama Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin; Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Yee Moh Chai.

Tiong Lai berkata, kerajaan juga akan mempertingkatkan lagi tahap kemudahan hemodialisis kepada rakyat Sabah menerusi beberapa penempatan baru perkhidmatan tersebut di Hospital Kudat, Kunak dan Kuala Penyu.

Tambahnya, selain menempatkan kemudahan hemodialisis di tiga buah hospital tersebut, kementerian juga akan membesarkan lagi unit itu di Hospital Tawau.

Sementara itu katanya, bangunan baru menara Hospital Ratu Elizabeth 1 dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

“Projek menaik taraf bangunan Hospital Ratu Elizabeth 11 di Damai, Luyang sudah siap, manakala kerja-kerja menaik taraf di Hospital Likas sedang dilaksanakan,” katanya.

Tambah beliau, kementerian juga akan memperluaskan perkhidmatan doktor udara di Sabah dan sebut harga bagi tender tersebut sedang dinilai oleh Kementerian Kewangan. Ia dijangka selesai dalam masa terdekat. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment