My Add

Monday 16 January 2012

Persatuan Wawasan Rakyat Perak sokong BN

IPOH, ISNIN, 16 Januari, 2012: Seramai 200 bekas ahli pakatan pembangkang yang bersatu di bawah Persatuan Wawasan Rakyat Perak berikrar menyatakan sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Presidennya, Fauzi Muda yang merupakan bekas Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Ipoh Barat berkata, pihaknya yakin hanya BN mampu mentadbir negara dengan baik tanpa sebarang perpecahan dan perbezaan ideologi antara parti-parti komponen.

"Kita telah menghantar satu memorandum kepada Pas yang antara lain mendesak parti itu mengepalai pakatan pembangkang di negeri ini serta bertanding di semua 34 kerusi yang ditandingi UMNO.

"Namun, mereka kata Pas hanya bertanding di 21 kerusi selain tidak mampu untuk mencadangkan 'exco bayangan' kerana sukar untuk membentuk kerajaan yang juga dikongsi bersama parti lain terutamanya DAP," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis minum petang himpunan ikrar sokong BN yang disempurnakan oleh Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, semalam

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Keshvinder Singh yang merupakan wakil rakyat Bebas.

Dalam pada itu, Fauzi menyeru kepada semua rakyat Perak supaya menolak pakatan pembangkang memandangkan ketiga-tiga parti itu mempunyai haluan berbeza, selain berpecah-belah terutamanya dalam perebutan jawatan dan kuasa.

Sebaliknya, beliau berkata, kredibiliti ditonjolkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Zambry telah terbukti melalui pelbagai program pembangunan yang dilakukan.

"Setelah 11 tahun bersama, saya sudah masak dengan perjuangan mereka. Jika Pas bertukar daripada konsep negara Islam kepada negara berkebajikan, DAP pula memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia.

"PKR kini membawa pendekatan 'Malaysia Baru' dan saya yakin negara ini akan menjadi sebuah republik sekiranya pakatan pembangkang berkuasa di mana kuasa Raja-Raja Melayu akan dibuang," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment