My Add

Friday 6 January 2012

Polis minta rakyat hormati keputusan mahkamah

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 06 Januari, 2012: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar meminta rakyat supaya bersikap matang dan menghormati apa sahaja keputusan mahkamah berhubung kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin ini.

Beliau berkata, sebarang tindakan yang menentang atau melawan keputusan mahkamah merupakan satu kesalahan di bawah Akta Hasutan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersedia mengawal keadaan walau apa pun keputusan mahkamah nanti.

"Hormati keputusan mahkamah. Saluran rayuan sentiasa dibuka kepada mana-mana pihak yang terkilan dengan keputusan mahkamah.

"Bertindak dengan matang, bukan emosi supaya seiring dengan amalan demokrasi dan budaya masyarakat Malaysia," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Menurut Ismail, PDRM sentiasa memantau keadaan dan menggunakan apa sahaja kaedah yang memberi manfaat kepada penduduk Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya sekiranya kedatangan penyokong perhimpunan haram, Kempen Bebaskan Anwar 901 menimbulkan kesusahan serta ancaman kepada kehidupan seharian warga kota.

Menurut beliau, PDRM yang prihatin dengan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 yang diluluskan Parlimen baru-baru ini bagi memberi hak kepada rakyat berhimpun secara aman tanpa senjata sebagaimana Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, akan menggunakan elemen penyuraian sekiranya perhimpunan itu mengancam keselamatan awam.

Jelasnya, pendekatan digunakan PDRM bagi menghadapi perhimpunan tersebut adalah melihat isu itu daripada sudut Undang-Undang dan Perintah berbanding pendekatan terdahulu iaitu sudut Ketenteraman Awam.

"Pendekatan Undang-Undang dan Perintah ini telahpun bermula dengan kenyataan-kenyataan menasihatkan orang ramai supaya tidak perlu hadir ke perhimpunan tersebut sambil memberi nasihat kepada penganjurnya supaya membatalkan hasrat mereka.

"Sekiranya nasihat ini tidak diendahkan, maka PDRM bersedia mengawal keadaan dengan menggunakan pendekatan penyuraian iaitu merujuk kepada penggunaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), semburan air dan gas pemedih mata yang sering dikaitkan oleh pihak-pihak tertentu sebagai 'keganasan'," ujarnya.

Ismail juga tidak menafikan kemungkinan ramai pengikut taksub Anwar akan membanjiri pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin ini.

Beliau berkata, perhimpunan itu juga boleh berakhir dengan kekacauan sekiranya penyokong yang hadir gagal mengawal emosi mereka.

"Berdasarkan pengalaman lalu, PDRM berupaya mencorakkan respons sama ada perhimpunan yang diadakan ini akan menjadi demonstrasi yang mengancam keselamatan atau hanya perhimpunan untuk menzahirkan protes secara aman.

"Sehubungan itu, saya sudah mengarahkan Ketua Polis Kuala Lumpur supaya mengadakan pertemuan dengan penganjur perhimpunan terbabit petang ini bagi membincangkan lokasi sesuai untuk mereka berhimpun dan garis panduan yang perlu dipatuhi jika meneruskan hasrat tersebut," katanya.

Hormati undang-undang negara'

seementara itu, beberapa duta dari Eropah yang didakwa dijemput khas oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan pertemuan, dinasihatkan supaya menghormati undang-undang negara sebelum menjalin sebarang bentuk kerjasama dengan Ketua Pembangkang itu.

Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Zahid Md. Arip berkata, bagaimanapun beliau percaya, duta-duta berkenaan tidak mudah memberi bantuan kepada Anwar kerana mereka perlu mengutamakan soal menjaga hubungan baik antara dua kerajaan.

"Justeru itu, pertemuan tersebut hanya sia-sia dan tidak akan mengubah apa-apa perkara kerana keputusan adalah terletak di tangan badan kehakiman negara.

"Tetapi setakat bertemu enam duta, Anwar tidak akan berjaya. Kalau benar dia hebat, dia perlu dapatkan 60 duta termasuk duta dari negara-negara Islam bagi meraih sokongan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Anwar difahamkan telah mengatur pertemuan dengan sekurang-kurangnya enam duta dari Eropah dalam tempoh terdekat, dipercayai bagi mendapatkan sokongan sempena Kempen Bebaskan Anwar 901.

Sementara itu, bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah berkata, tindakan Anwar mendapatkan sokongan daripada pihak luar menunjukkan bahawa beliau kini dalam keadaan takut dan tertekan.

"Anwar lebih percaya pihak luar daripada penyokongnya. Dia tahu penyokongnya tidak mampu membantunya melepaskan diri selain hanya menjadi 'tukang kecoh' untuk mencetuskan huru-hara dalam negara. Itu pun selepas diberikan duit.

"Penyokong PKR yang tegar masih tidak sedar diri yang mereka sekadar dipergunakan oleh Ketua Pembangkang itu. Mereka sahaja yang terhegeh-hegeh dengan Anwar sedangkan Anwar hanya tahu untuk melepaskan dirinya sahaja," kata beliau.

Dalam hubungan ini, Aminah berpendapat Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail perlu berani tampil kehadapan untuk menegakkan keadilan dengan menasihati suaminya supaya lebih bersikap 'jantan' dalam menghadapi situasi berkenaan. 


No comments:

Post a Comment