My Add

Wednesday 25 January 2012

Polis sahkan tiga kesan calar pada mangsa tebusan

KUALA LUMPUR, RABU, 25 Januari, 2012: Polis hari ini mengesahkan kanak-kanak yang menjadi mangsa tebusan seorang lelaki bersenjatakan pisau di Kampung Baru di sini kelmarin mengalami tiga kesan calar berpunca daripada pisau yang digunakan suspek sebelum polis bertindak melepaskan empat das tembakan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, kesan calar itu sudah disahkan oleh doktor yang merawat mangsa di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Kesan calar itu ada dua pada bahagian dada dan satu calar di tangan sebelah kiri. Kita percaya kesan itu datang dari pisau yang digunakan suspek semasa menjadikan mangsa sebagai tebusan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, buat masa ini mangsa masih diberikan rawatan dan tidak dibenarkan diganggu oleh mana-mana pihak dan polis akan menunggu keputusan daripada doktor sama ada boleh berjumpa mangsa atau sebaliknya.

Zulkarnain berkata, tindakan polis melepaskan empat das tembakan pada waktu itu adalah wajar bagi menyelamatkan mangsa kerana keadaan suspek semakin agresif dan risiko keselamatan mangsa semakin meningkat.

"Kita terpaksa melepaskan tembakan itu kerana nyawa mangsa berada dalam keadaan bahaya. Tujuan tembakan itu untuk mencederakan suspek, namun beliau mati di hospital sebelum sempat polis menyoal siasat," katanya.

Katanya lagi, suspek yang mempunyai tujuh rekod jenayah membabitkan narkotik dan samun, mati antara pukul 4.50 petang hingga 4.55 petang pada hari kejadian dan jenazahnya sudah dituntut oleh sepupunya pada pukul 8 malam tadi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment