My Add

Wednesday 25 January 2012

Polis tahan 5 lelaki, rampas dadah RM190,000


KETUA Polis Daerah Klang Selatan, ACP Mohamad Mat Yusop (tengah) menunjukkan pil eramin 5 yang dirampas bernilai hampir RM190,000 dalam tiga serbuan berasingan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di Klang, hari ini. - Foto Roslin Mat Tahir

KLANG, RABU, 25 Januari, 2012: Polis Klang menahan lima lelaki dipercayai pengedar dadah serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM190,000 dalam tiga serbuan di daerah ini sejak Rabu minggu lalu. 

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Mohamad Mat Yusop, berkata tangkapan terbaru membabitkan dua lelaki berusia 53 dan 34 tahun di sebuah rumah teres di Taman Sentosa, di sini awal hari ini.

Dalam serbuan 4 pagi itu, polis menemui 11 paket lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis syabu, 3,450 biji pil eramin 5, dua botol plastik candu, satu ketulan mampat disyaki ganja seberat 15.5 gram dan 655 biji pil ecstasy.

Semua dadah itu dianggar bernilai RM181,415 dan dipercayai untuk diedarkan di kawasan Lembah Klang, katanya pada sidang media di sini. 

"Rumah berkenaan dipercayai tempat transit dadah sebelum diedarkan. Kedua-dua suspek juga positif dadah," katanya. 

Sementara itu, dalam satu serbuan pada Isnin lalu, polis menahan seorang lelaki berusia 51 tahun dan merampas 60 paket lutsinar berisi dadah dipercayai jenis heroin seberat 125.5 gram bernilai RM4,500. 

Dadah terbabit disembunyikan di dalam papan pemuka kereta suspek yang bekerja sebagai pembantu kesihatan sebuah pihak berkuasa tempatan, katanya. 

Mohamad berkata, dalam serbuan Rabu minggu lalu pula, polis memberkas dua penuntut kolej swasta berusia 23 dan 24 tahun berhampiran Jalan Sentul, Persiaran Raja Muda Musa, di sini kira-kira 6 petang. 

Katanya, polis bertindak menyamar sebagai pelanggan sebelum memberkas suspek yang menyerahkan sebuah bungkusan mengandungi dua ketulan mampat daun kering dipercayai dadah jenis ganja seberat 1.9 kg bernilai RM4,000. 

"Polis bertindak menahan kedua-dua suspek yang turut didapati positif dadah," katanya. 

Mohamad berkata, semua suspek ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment