My Add

Thursday 26 January 2012

2 pengawal gagalkan rompakan

 
ABDUL Rashid (kiri) melihat karung berisi wang yang gagal dilarikan perompak, semalam.Nekad bergelut dengan suspek cuba bawa lari wang lebih RM500,000 

Oleh Safeek Affendy Razali

KAJANG, KHAMIS, 26 Januari, 2012: Tindakan nekad dua pengawal keselamatan melawan dan bergelut berjaya menggagalkan cubaan dua suspek lelaki yang ingin melarikan wang tunai lebih setengah juta ringgit dari Kompleks PKNS, Bandar Baru Bangi, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10.40 pagi ketika kedua-dua pengawal terbabit sedang memunggah karung berisi wang tunai berjumlah RM552,583 ke van mereka sebelum didatangi suspek bersenjatakan sepucuk pistol.

Seorang daripada suspek dikatakan mengetuk belakang pengawal keselamatan menggunakan pistol, sebelum pengawal terbabit bergelut dengan lelaki itu selepas merasakan senjata digunakan palsu. 

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu datang membantu dan membelasah suspek berusia lingkungan 20-an sebelum berjaya memberkasnya. 

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab, berkata menyedari rakannya dibelasah dan ditahan orang ramai, suspek kedua melarikan diri menggunakan motosikal. 

“Sejurus selepas kejadian, polis membuat tindakan susulan dan memburu suspek kedua sebelum berjaya mengesannya di sekitar Rawang dan membuat tangkapan kira-kira jam 5 petang,” katanya di sini, semalam. 

Tambahnya, suspek kedua yang berusia 32 tahun itu dikesan berdasarkan maklumat serta siasatan terhadap suspek pertama dan polis yakin hanya dua suspek terbabit dalam kejadian samun itu. 

Sehingga kini Polis Daerah Kajang masih lagi menjalankan siasatan serta memeriksa sama ada kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau selain memohon perintah reman hari ini. 

Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 394/511 Kanun Keseksaan dan polis berterima kasih dengan tindakan pantas orang awam yang turut sama membantu bagi menggagalkan cubaan samun terbabit hingga penjenayah dapat ditahan. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment