My Add

Friday 6 January 2012

PPR Kampung Hassan bukti kerajaan BN tunai janjinya: PM

HULU BERNAM, JUMAAT, 06 Januari, 2012: Datuk Seri Najib Razak hari ini melawat projek pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Hassan di sini, projek yang dijanjikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) semasa pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada April 2010. 

Perdana Menteri melahirkan rasa puas hati dengan perkembangan projek bernilai RM41 juta di tapak seluas 10.4 hektar itu dan yakin ia dapat disiapkan lebih awal daripada dijadualkan pada Julai tahun depan.

"Semuanya berjalan lancar dan baik. Saya sebenarnya begitu gembira kerana inilah janji yang dibuat saya ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor dulu.

"Projek ini menunjukkan bahawa apabila kerajaan BN janji, kita tetap tunaikan janji kita," katanya dalam ucapan ringkas. 

Najib sebelum itu mendengar taklimat berhubung projek bagi menyelesaikan masalah perumahan penduduk di situ yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ahmad Kabit. 

Pembinaan 300 unit rumah teres, setiap unit dengan tiga bilik tidur dan dua bilik mandi, bertujuan menempatkan semula penduduk setinggan di Kampung Hassan, yang pada masa ini mendirikan rumah dengan kos sendiri di atas tanah milik individu dengan menyewa tapak secara bulanan. 

Mengulas lanjut, Najib berkata kos sebenar setiap unit rumah projek itu adalah sekitar RM136,000 tetapi dijual kepada penduduk pada anggaran RM35,000. 
"Rumah ini termasuk kemudahan dijual dengan nilai purata RM136,666.67 tetapi harga yang dijual kepada penduduk adalah sekitar RM35,000. Dengan ini, penduduk akan untung lebih kurang RM100,000,"katanya. 

Perdana Menteri berkata kerajaan turut memutuskan untuk mengekalkan sebuah kuil Hindu yang dibina di kawasas seluas 0.24 hektar berhampiran tapak pembinaan projek itu. 

"Kerajaan tidak bercadang memindahkan kuil itu dengan mengambil kira kepentingan penduduk India di situ," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut melawat rumah contoh projek PPR Kampung Hassan dan menyempurnakan upacara peletakan batu asas bagi pembinaan surau di kawasan itu.

Najib solat Jumaat bersama 1,000 penduduk Kuala Kubu Baru
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan kariah Masjid Jamek Ar-Rahimah sempena program turun padang sehari beliau ke kawasan Parlimen Hulu Selangor selepas selesai solat Jumaat di Kuala Kubu Bharu, hari ini. - Foto Osman Adnan
Datuk Seri Najib singgah menunaikan solat Jumaat bersama lebih 1,000 orang jemaah di Masjid Jamek Ar-Rahimah Kuala Kubu Baharu.  Perdana Menteri yang berpakaian baju Melayu ungu muda tiba di masjid pada 1.15 tengah hari dan disambut oleh anggota jawatankuasa masjid berkenaan.

 Selepas solat, Perdana Menteri menandatangani buku pelawat masjid berkenaan sambil berbual-bual dengan ahli jawatankuasa masjid serta beberapa jemaah.

Najib, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, kemudian bersalaman dengan jemaah serta kanak-kanak yang dari awal beratur untuk menatap wajah beliau dari dekat.

Perdana Menteri kemudiannya meredah terik matahari berjalan melintasi jalan ke Pusat Khidmat Rakyat 1Malaysia Barisan Nasional, yang terletak berhadapan masjid berkenaan untuk makan tengah hari bersama pemimpin UMNO dan parti komponen BN negeri dari Kuala Selangor, Hulu Selangor, Sabak Bernam, Sungai Besar dan Tanjung Karang.

Turut hadir Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Mohd. Zin Mohamed, Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Bernam, Datuk Mohd. Idris Abu Bakar dan ADUN Kuala Kubu Baharu, Wong Koon Mun.

Selepas selesai menjamu selera, Najib meneruskan program turun padang menghadiri majlis perasmian Karnival Perdana Komuniti 1Malaysia di Bukit Sentosa sebelum ke Felda Gedangsa serta meninjau perkembangan pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Hassan di Hulu Bernam. — BERNAMA




No comments:

Post a Comment