My Add

Wednesday 25 January 2012

RM40 tak sampai lima jam

MOHD. Afiq, Mohd. Samian menunjukkan resit bayaran sebanyak RM30 yang dikenakan ke atasnya selepas meletak kereta di Kompleks Daya Bumi, Kuala Lumpur.

ATAS faktor ekonomi dan jarak perjalanan ke tempat kerja, peningkatan jumlah kemasukan kenderaan terutama ke ibu negara sukar dibendung.Situasi ini sebenarnya memberi ‘durian runtuh’ kepada sesetengah pihak yang mengaut keuntungan daripada pertambahan kenderaan dengan mengenakan kadar tempat meletak kereta yang terlalu tinggi.Dalam masa sama, ia menimbulkan kesukaran kepada orang ramai yang tidak mempunyai pilihan selain terbeban dengan situasi itu setiap hari.
Wartawan NORAZRIN MARZUKI bersama jurugambar NURFADHILA ROSLEI meninjau kadar bayaran meletak kenderaan di beberapa kawasan sekitar ibu kota yang dikatakan tidak munasabah.

KUALA LUMPUR, RABU, 25 Januari, 2012: Letak kereta tidak sampai lima jam tetapi kadar dikenakan ialah RM40. Mungkin ada yang menganggap ia tidak masuk akal, namun inilah realiti di ibu kota.

Pendedahan ini hasil tinjauan dilakukan oleh wartawan Utusan Malaysia di kawasan meletak kenderaan berhampiran dengan stesen komuter Bank Negara di sini baru-baru ini.

Menyedari mereka menjadi ‘mangsa’ kepada pihak-pihak tertentu yang mahu mengaut keuntungan secara mudah, orang ramai ditemui mendesak supaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan pelarasan kadar meletak kenderaan di semua lokasi yang menjalankan perniagaan tersebut.

Salah seorang mangsa, Nuralina Husna Badri, 24, berkata, dia terkejut kerana perlu membayar sebanyak RM40 selepas tidak sampai lima jam meletakkan keretanya di situ.

‘‘Selalunya saya menggunakan LRT (transit aliran ringan) tetapi hari ini atas sebab-sebab tertentu, saya terpaksa membawa kenderaan sendiri.

‘‘Walaupun saya memang sedia maklum kadar meletak kenderaan di sini sangat mahal, tidaklah sampai RM40. Kadar ini memang tidak munasabah,’’ kata kakitangan swasta itu kesal.

Menurut Nuralina, walaupun dimaklumkan kadar yang dikenakan adalah mengikut jam, namun dia sendiri tidak pasti cara pengiraan yang dibuat.

Secara logiknya, jika RM40 untuk tempoh lima jam, kadar setiap jam adalah kira-kira RM10.

Tinjauan di Kompleks Daya Bumi juga mendapati, kadar mengikut jam yang dikenakan agak tinggi.

Mohd. Afiq Mohd. Samian berkata, dia terpaksa menampung perbelanjaan tambahan tempat meletak kenderaan sebanyak RM33 sehari setiap kali membawa keretanya ke tempat kerja.

Bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung, jelas Mohd. Afiq, dia kini memilih untuk menunggang motosikal pada hari-hari tertentu.

‘‘Kadar letak kereta di sini memang mahal dan di luar kemampuan orang ramai. Bagi saya, membawa motosikal adalah cara terbaik walaupun sedar tentang risikonya lebih-lebih lagi jika perjalanan adalah jauh,” katanya.

Untuk menyelami sendiri rasa tidak puas hati orang ramai, kami turut meletakkan kereta di kawasan disediakan bersebelahan DBKL di Jalan Raja Laut.

Tertera di papan kenyataan bahawa kadar jam pertama adalah RM4 manakala RM4 dikenakan untuk setiap jam yang berikutnya.

Namun, kami terkejut apabila dikenakan harga RM8 hanya untuk tempoh 30 minit meletakkan kereta di situ.

Keliru dengan caj yang dikenakan, penjaga kaunter ditanya mengapa mengenakan jumlah bayaran sekali ganda daripada kadar yang tertera.

‘‘Kadar bayaran akan naik selepas lima minit masuk meletak kereta, kalau kurang dari lima minit, baru kekal RM4,” katanya selamba. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment