My Add

Wednesday 25 January 2012

3 mati lemas di pantai, 3 lagi maut nahas rai Tahun Baru Cina


JENAZAH dua beradik dibawa keluar untuk dihantar ke rumah keluarga mereka di Ulu Tiram selepas selesai bedah siasat di HKT, Kota Tinggi, semalam. – UTUSAN/FARIK SALLEH

Oleh FARIK SALLEH

KOTA TINGGI, RABU, 25Januari, 2012: Seperti tidak mengambil iktibar daripada tragedi-tragedi mati lemas dalam tempoh dua hari lalu, tiga lagi termasuk dua beradik menjadi mangsa terbaru kejadian itu, petang semalam.

Dalam kejadian itu, dua beradik dan seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mati lemas di Pantai Tanjung Buloh, Sedili Kecil dan di Pantai Tanjung Balau dekat Desaru di sini.

Dalam kejadian pertama pukul 2.30 petang di Pantai Tanjung Buloh, Mohamad Izzuddin Sanudin, 12, dan Mohamad Aqhmal (gambar), 21, dari Ulu Tiram, Johor Bahru ditemui dalam keadaan terapung selepas keluarganya menyedari kehilangan mereka berdua.

Ibu bapa mereka, Sanudin Abu, 45, dan Norhayati Ibrahim, 43, datang ke pantai itu sejak pagi untuk berkelah bersama enam anak mereka yang lain.

Menurut Norhayati, sebelum itu mereka dikejutkan dengan kejadian kanak-kanak nyaris lemas dan dikejarkan ke pantai untuk pertolongan cemas.

“Namun pada masa sama, kami menyedari Mohamad Izzuddin dan Mohamad Aqhmal tiada di celah orang ramai lantas mula mencari mereka berdua.

“Tidak lama kemudian seorang pemancing ternampak satu mayat terapung lalu menariknya ke pantai.

“Kami terperanjat kerana mendapati mangsa adalah Aqhmal dan selang setengah jam, mayat Izzuddin pula ditemui terapung oleh seorang pengunjung lain,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, di sini semalam.

Jenazah dua beradik itu dituntut ahli keluarganya pada pukul 9 malam selepas bedah siasat sebelum dibawa pulang ke rumah keluarga mereka di Ulu Tiram dan dikebumikan pada malam yang sama di Tanah Perkuburan Islam Ulu Tiram.

Ketua Polis Daerah, Che Mahazan Che Aik berkata, selain dua beradik itu, seorang lagi mangsa yang merupakan lepasan SPM, Richard Rajakumaran, 18, mati lemas di Pantai Tanjung Balau, Desaru, pukul 2 petang.

Katanya, mangsa datang ke pantai itu bersama 17 ahli keluarganya dari Taman Perling, Johor Bahru.

Difahamkan, seramai tujuh daripada mereka bermain air di pantai sebelum
dilambung ombak namun hanya Richard seorang yang hilang dibawa arus.

“Mayat Richard ditemui terdampar di pantai di tempat kejadian 30 minit kemudian,” katanya lagi.

ORANG ramai membantu mengangkat salah seorang mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Mantin-Beranang di Nilai, Negeri Sembilan, semalam.

Di SEREMBAN: Hasrat lima beranak untuk bergembira bagi meraikan Tahun Baru Cina bersama ahli keluarganya di Puchong, Selangor, bertukar tragedi apabila pasangan suami isteri keluarga itu maut dalam kemalangan di Jalan Mantin-Beranang di Nilai dekat sini, semalam.

Selain pasangan itu, kemalangan ngeri melibatkan dua buah kereta yang berlaku pada pukul 12.30 tengah hari itu turut me-ngorbankan seorang lagi lelaki yang memandu kereta yang bertembung dengan mereka.

Mereka yang terbunuh ialah penumpang belakang kereta Toyota Vios, Lim Fong Len, 74, dan isterinya, Chong Yoon Ying, 57, serta Tee Chan Hen, 23, yang memandu kereta Proton Saga.

Tiga lagi anak mangsa dalam kereta Toyota Vios terbabit termasuk pemandu dan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dilaporkan mengalami kecederaan parah.

Seorang saksi, Zakaria Mohd. Kadir, 23, memberitahu, ketika kejadian, dia bersama tiga lagi rakannya sedang bekerja membaiki paip bocor di tepi jalan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, dia terkejut apabila terdengar satu bunyi letupan kuat dan mendapati dua buah kereta dalam keadaan remuk akibat bertembung, iaitu kira-kira 20 meter dari lokasi dia berada.

"Ekoran kejadian itu, saya bersama rakan yang lain berlari ke lokasi kejadian dan cuba membantu mengeluarkan penumpang dalam kereta Toyota Vios terbabit.

"Keadaan ketika itu sungguh mencemaskan kerana beberapa penumpang dalam kereta Toyota Vios terbabit mengerang kesakitan, manakala pemandunya yang tersempit itu pula menjerit-jerit meminta tolong.

"Pemandu kereta Proton Saga itu pula saya lihat sudah tidak bernyawa dan mayat mangsa pula tersepit dalam kenderaannya yang remuk," katanya ketika ditemui dilokasi kejadian di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supritendan Mohd. Yusoff Awang berkata, pemandu kereta Proton Saga itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Tambah beliau, seorang penumpang dalam kereta Toyota Vios itu meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Mantin dan seorang lagi ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) dekat sini untuk menerima rawatan.

Difahamkan, kedua-dua mangsa yang maut itu merupakan ibu bapa kepada pemandu kereta Toyota Vios terbabit dan berasal dari Taman Desa Mantin dekat sini.

"Ketiga-tiga mangsa maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan manakala semua mangsa yang parah menerima rawatan susulan di HTJ.

"Siasatan awal polis mendapati, ketika kejadian lima beranak yang menaiki kereta Toyota Vios tersebut dipercayai dalam perjalanan menghala ke Beranang, manakala kereta Proton Saga yang dipandu seorang lelaki itu menghala ke Mantin.

"Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian kereta Proton Saga itu dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Toyota Vios itu," katanya.

Mohd. Yusoff berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan semua mayat dibawa HTJ untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment