My Add

Friday 20 January 2012

RM46 juta naik taraf Hospital Banting

ROSNAH Abdul Rashid Shirlin bermesra dengan seorang pesakit di Wad Pediatrik Hospital Banting sempena lawatan kerja di Kuala Langat, semalam.

BANTING, JUMAAT, 20 Januari, 2012: Penduduk di sekitar daerah ini bakal menikmati kemudahan kesihatan yang lebih baik apabila kerajaan meluluskan peruntukan RM46 juta untuk menaik taraf Hospital Banting di sini.

Antara pembangunan yang bakal dilaksanakan ialah membina sebuah bangunan baru lapan tingkat pada suku ketiga Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, bangunan baru tersebut antara lain akan menempatkan wad, dewan bedah, farmasi satelit, makmal mini dan bilik x-ray.

"Pembinaan bangunan baru tersebut penting bagi menampung jumlah pesakit yang semakin bertambah berikutan pembangunan pesat daerah ini.

"Kerajaan memberi pertimbangan untuk menaik taraf Hospital Banting bertujuan memberi perkhidmatan kesihatan yang lebih baik kepada rakyat," katanya ketika melakukan lawatan kerja di Hospital Banting di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Azman Abu Bakar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Morib, Hasiman Sidom.

Rosnah berkata, usaha menaik taraf hospital berkenaan perlu dilakukan kerana penduduk di daerah itu sudah mencecah 250,000 orang.

Hospital Banting yang telah beroperasi sejak 1974 di tapak seluas 10 hektar kini mempunyai perkhidmatan doktor pakar serta kapasiti 153 katil dan 552 kakitangan.

Rosnah memberitahu, untuk tahun ini, kerajaan telah meluluskan projek menaik taraf bilik di Dewan Bedah Hospital Banting serta menaik taraf bumbung dewan berkenaan bernilai RM170,000.

Mengulas mengenai isu masalah sampah yang gagal diselenggara dengan baik oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor, beliau meminta kerajaan negeri agar menanganinya dan bukan menuduh Barisan Nasional (BN) cuba mempolitikkan isu tersebut.

"Kesihatan penduduk tidak boleh dijadikan bahan politik kerana sampah yang gagal diselenggara dengan baik menjadi faktor penyakit merebak," tegasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment