My Add

Wednesday 4 January 2012

Salleh Majid dikenang kerana jujur


dato_salleh
Allahyarham Salleh

KUALA LUMPUR, RABU, 04 Januari, 2012: Bekas Presiden Bursa Malaysia, Datuk Salleh Majid yang meninggal dunia semalam dikenang sebagai seorang yang sederhana dan tidak mengambil kesempatan menggunakan bidang korporat untuk meraih kepentingan peribadi.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang mengenali Allahyarham sejak belajar di Institut Teknologi Mara (ITM) pada 1960-an berkata, Salleh seorang yang jujur dan bertanggungjawab dalam menguruskan hal ehwal korporat.

"Satu perkara yang saya kagum mengenai Allahyarham adalah dia tidak mengambil kesempatan walaupun berada dalam bidang korporat, sebaliknya memilih hidup secara sederhana," katanya ketika ditemui pada majlis pengebumian Salleh di Hulu Kelang kelmarin.

Salleh, 62, yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak empat hari lalu meninggal dunia akibat kanser usus dan buah pinggang.

Menurut Ibrahim, beliau mengagumi komitmen Salleh dalam memperjuangkan agenda ekonomi Melayu.

"Negara kehilangan seorang tokoh ekonomi yang gigih memperjuangkan agenda ekonomi Melayu dan saya pula kehilangan seorang sahabat baik yang banyak membantu Perkasa," katanya.

Sementara itu bekas Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Azman Ujang berkata, Allahyarham pada tahun lalu pernah menceritakan rancangannya untuk menubuhkan bursa saham yang melibatkan penyertaan lapan negara Islam.

"Beliau menyiapkan kertas kerja mengenainya dan berhasrat menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membentangkannya. Namun, masalah kesihatan mungkin menghalang," katanya.

Jelas beliau, sebagai pemberita Meja Ekonomi di Bernama, beliau sering bertemu Allahyarham dan mengagumi usahanya membawa kemajuan ekonomi negara.

Dalam pada itu seorang lagi sahabat Allahyarham, Ishak Mohamad, 62, mengenali Allahyarham sebagai seorang yang gemar bergurau sehingga sukar untuk mengetahui waktu beliau berjenaka atau serius.

"Semasa di ITM dahulu kami memanggilnya Wak Salleh kerana dia ada darah Jawa dan dia memang suka bergurau.

"Saya sempat melawatnya di hospital dan kehilangannya memang amat menyedihkan kerana beliau seorang sahabat yang sangat baik," katanya. - UM

No comments:

Post a Comment