My Add

Tuesday 24 January 2012

Saya tidak patah semangat - Zambry

Oleh ROKIAH ABDULLAH

IPOH, SELASA, 24  Januari, 2012: Cubaan pihak tertentu yang mahu mensabotaj acara dan sambutan yang dianjurkan kerajaan negeri tidak akan mematahkan semangat Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

Sambil menyifatkan tindakan itu dibuat oleh mereka yang nakal, Zambry berkata, apa yang penting majoriti rakyat negeri ini sentiasa bersama dan menyokong setiap usaha dilakukannya sehingga kini.

"Mula-mula kain rentang memaparkan wajah saya di Bagan Serai dibakar. Selepas itu, dewan di Changkat Ibol di Taiping yang ingin saya rasmikan pula disimbah cat.

"Terbaru wajah saya dan isteri yang dipaparkan pada poster untuk Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina berhampiran kediaman rasmi saya pula dihitamkan di bahagian mulut dan pada masa sama tersebar khidmat pesanan ringkas (SMS) menyatakan majlis semalam dibatalkan pada saat akhir.

"Tidak kiralah apa yang mereka lakukan. Saya tidak tergugat dan ia tidak langsung melemahkan semangat saya untuk terus berkhidmat kepada rakyat kerana saya percaya majoriti mereka berada bersama-sama saya," katanya pada sidang akhbar pada majlis tersebut di sini hari ini. Majlis itu dihadiri oleh lebih 15,000 orang.

Menurut Zambry, tindakan sedemikian juga jelas menunjukkan pihak berkenaan tidak mempunyai semangat perayaan antara kaum di negara ini, sebaliknya lebih mengutamakan sentimen politik berbanding rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata, beliau tidak akan membuat sebarang laporan polis berkenaan tindakan tersebut sebaliknya menyerahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian dan menghukum mereka yang melakukannya.

Jelasnya, beliau tidak mahu terlibat dengan agenda politik kotor sebegitu yang jelas hanya menyusah dan menimbulkan masalah pada rakyat.

"Siapa yang kita mahu hukum kerana kita tidak tahu siapa melakukannya. Lagipun, sebelum ini sudah ada pihak lain membuat laporan polis. Cukuplah mereka sahaja berbuat demikian.

"Saya juga tidak mahu menuduh atau mengesyaki sesiapa. Biar rakyat yang membuat penilaian terhadap tindakan mereka itu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment