My Add

Tuesday 24 January 2012

RM10j bantu usahawan Pahang

IBRAHIM Ahmad (tengah) menyaksikan Mohd. Shafie Apdal menyampaikan beg sekolah sumbangan Yayasan Bank Rakyat kepada pelajar miskin sempena Program Mesra Rakyat di Jerantut, Pahang, kelmarin.


Oleh HARIS FADILAH AHMAD 

JERANTUT, SELASA, 24 Januari, 2012:Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperuntukkan RM10 juta untuk program keusahawanan dan pembasmian kemiskinan di negeri ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ibrahim Ahmad, berkata, projek itu melibatkan 1,000 peserta yang diberi latihan dan lot perniagaan masing-masing.

"Di daerah Jerantut sahaja, Mara memperuntukkan RM4.2 juta untuk 172 peserta melalui program keusahawanan, Program Basmi Kemiskinan, Program Usahawan Teknikal (Putek) dan pembiayaan perniagaan.

"Ini antara usaha kami untuk memajukan usahawan bumiputera dan komuniti luar bandar menerusi transformasi sosial dan ekonomi yang digariskan oleh kerajaan," katanya kepada pemberita selepas Program Mesra Rakyat yang dihadiri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal di sini kelmarin.

Pada majlis itu juga, Ibrahim turut mengiringi Mohd. Shafie menyampaikan beg sekolah kepada 100 pelajar miskin luar bandar di daerah ini sumbangan Yayasan Bank Rakyat.

Menurut Ibrahim, 550 peserta di negeri ini telah diberi latihan asas pembentukan usahawan dengan melibatkan peruntukan RM545,725.

"Agihan peruntukan terbanyak, iaitu RM8.6 juta untuk bantuan membasmi kemiskinan menerusi program Mikro PBT, Rangkai Niaga, program teknikal, ibu tunggal dan usahawan Bistari Ayamas," katanya.

Ibrahim berkata, program bersepadu keusahawanan Mara bertujuan memacu peluang dalam perniagaan, menyediakan tapak, modal, latihan pemasaran dan juga berperanan sebagai agensi penjenamaan sesuatu produk.

Sehubungan itu, katanya, Mara juga telah melatih 20 peserta yang terlibat dengan Skim Khidmat Nasihat Perniagaan dan Skim Putek sejak tahun lalu di negeri ini.

"Kita juga telah menyewakan 480 lot premis kepada usahawan berkenaan untuk membuka perniagaan masing-masing di bawah khidmat bimbingan Mara dan Persatuan Peniaga dan Penjaja di tempat masing-masing," katanya.

Tambah beliau, Mara juga menawarkan pinjaman untuk 44 peniaga dan penjaja kecil di negeri ini dengan peruntukan RM290,000 di bawah Program Usahawan Kecil Dinamik tahun ini. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment