My Add

Thursday 5 January 2012

Selangor sedia talian khas lapor aduan sisa pepejal

SHAH ALAM, KHAMIS, 05 Januari, 2012: Selepas pelbagai aduan dilaporkan akhbar berhubung kegagalan pihak berkuasa tempatan (PBT) menguruskan sampah di negeri ini, kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor akan mewujudkan satu talian bebas tol bagi memudahkan orang ramai mengemukakan aduan mereka.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, talian bebas tol berkenaan akan dikendalikan oleh Pusat Aduan Pengurusan Sisa Pepejal di bawah kelolaan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang dijangka beroperasi dalam masa terdekat ini.

"Aduan yang dibuat orang ramai akan direkodkan dan setiap PBT perlu bertindak terhadap aduan tersebut selewat-lewatnya dalam tempoh 48 jam bermula dari aduan itu diterima.

"Menerusi pusat aduan itu, ia sekali gus dapat mengetahui peratusan aduan mengenai sampah yang diterima, jumlah aduan yang berjaya diselesaikan serta tempoh masa yang diambil oleh PBT untuk menyelesaikan aduan-aduan yang dikemukakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Pada 26 Disember lalu, Utusan Malaysia melaporkan mengenai keluhan penduduk pangsapuri Desa Mentari, Seksyen 6 di Petaling Jaya yang kecewa dengan kegagalan pengurusan sampah di kawasan mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia ketika itu mendapati, setiap rumah sampah di blok pangsapuri tersebut dipenuhi dengan sampah-sarap dan sampah itu turut bertaburan di atas jalan kerana tong sudah penuh.

Kegagalan pengurusan sampah juga dilaporkan berlaku di beberapa kawasan lain di negeri ini termasuk di Shah Alam, Klang dan Kajang.

Masalah itu berlaku selepas kerajaan PKR Selangor menamatkan perkhidmatan Alam Flora Sdn. Bhd. dan kontraktor baru yang dilantik gagal melaksanakan tugas dengan baik.

Bagaimanapun, Abdul Khalid cuba 'melepaskan diri' apabila mendakwa masalah sampah yang berlaku di negeri ini sejak kebelakangan ini adalah kerana perbuatan khianat pihak tertentu.

"Kami mempunyai bukti wujudnya perbuatan khianat yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab dengan menabur semula sampah merata-rata menggunakan beberapa buah lori di kawasan yang telah dibersihkan oleh PBT.

"PBT kini sedang mengenal pasti lori dan pihak yang terlibat dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka kerana melakukan perbuatan khianat itu," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment