My Add

Sunday 22 January 2012

Terserah kepada rakyat buat tafsiran: Najib

Oleh HERMAN HAMID dan M. SHAHRINNAHAR ABD. LATIB

KUANTAN, AHAD, 22 Januari, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan kepada umum untuk menafsirkan sama ada pelbagai bentuk bantuan yang diberikan kerajaan termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) menandakan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) semakin hampir

"Itu bacaan masing-masing. Terserah kepada bapak (anda) semua, bacaan masing-masing," kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas melancarkan program Ihsan Samudera Peringkat Kebangsaan di Tanjung Lumpur, di sini, semalam. 

Pada sidang akhbar berkenaan, Najib ditanya sama ada pemberian pelbagai bentuk bantuan sejak kebelakangan ini khususnya BR1M menandakan PRU-13 semakin hampir.

Sementara itu, berhubung kaji selidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) yang mendapati sebahagian besar daripada 2,559 responden percaya Barisan Nasional (BN) akan terus berkuasa, Najib berkata, beliau mengakui teruja dengan laporan itu dan percaya ia didorong oleh proses transformasi oleh kerajaan.

Katanya, perkembangan itu menunjukkan agenda transformasi untuk membawa negara menuju kepada sebuah negara maju diakui ramai.

''Kita telah buktikan dalam masa tiga tahun ini, begitu banyak pembaharuan yang telah kita lakukan, begitu banyak idea baru yang telah dapat kita cetuskan.

''Saya percaya ini akan banyak membantu ke arah memantapkan lagi keyakinan rakyat kepada kerajaan," jelasnya.

Menurut kaji selidik Umcedel, 43 peratus daripada 2,559 responden dari seluruh negara percaya BN akan terus berkuasa dan hanya 18 peratus berpendapat pembangkang akan mengambil alih kerajaan, manakala 39 peratus tidak pasti.

Dalam perkembangan berasingan, Perdana Menteri mengumumkan Pelabuhan Kuantan di Gebeng akan dinaik taraf supaya dapat digunakan oleh kapal-kapal besar untuk berlabuh di situ.

"Kita lihat banyak kapal yang membawa kontena ini selalunya bersaiz besar. Kalau kita tidak besarkan dan mendalamkan pelabuhan, ini akan merugikan.

"Ini juga akan menyebabkan jumlah dagangan melalui pelabuhan ini akanmengucup," katanya.

Oleh itu, katanya, jika mahu pelabuhan tersebut menjadi nadi utama ekonomi Pantai Timur, maka kerajaan perlu mendalamkan pelabuhan tersebut. - MM


No comments:

Post a Comment