My Add

Tuesday 24 January 2012

Tiada aduan musim perayaan

KUALA LUMPUR, SELASA, 24 Januari, 2012: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berpuas hati dengan harga jualan barangan terutamanya barangan kawalan sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina.

Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe berkata, sehingga kini kementerian itu tidak menerima sebarang aduan mengenai harga barangan kawalan yang dijual melebihi harga ditetapkan.

Tan berkata, hasil daripada tinjauan kementerian itu juga mendapati majoriti harga barangan dijual jauh lebih murah sambil memuji tindakan peniaga yang tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan di musim perayaan.

"Sebagai contoh, harga daging khinzir rata-ratanya dijual sekitar RM13 sekilogram berbanding harga ditetapkan iaitu pada RM15 sekilogram. Bawang putih juga rata-rata dijual pada harga RM3 sekilogram berbanding harga ditetapkan iaitu sekitar RM5 sekilogram," katanya kepada pemberita di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Gerakan di sini, semalam.

Majlis rumah terbuka itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abd Rahman serta bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Lian Hoe yang juga Ketua Wanita Gerakan berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang aduan mengenai kekurangan bekalan makanan.

"Sehingga kini tiada lagi laporan mengenainya, dan saya yakin bekalan makanan adalah cukup di seluruh negara," katanya.

Pada 11 Januari lepas, KPDNKK mengumumkan 13 jenis barangan terkawal di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2012 iaitu ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam (gred A, B dan C), kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk kubis Beijing), bawang putih dari China, ikan bawal putih besar, udang putih besar, babi hidup, perut babi dan daging babi tanpa lemak dan berlemak. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment