My Add

Tuesday 24 January 2012

Kerajaan Pahang bantu jelaskan isu FGVH

TEMERLOH, SELASA, 24 Januari, 2012: Kerajaan Negeri akan turun padang menjelajah tanah rancangan Felda untuk memberikan penerangan kepada peneroka berhubung isu penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Malaysia bagi mengelakkan mereka terkeliru dengan putar belit pembangkang.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, penerangan tersebut akan dijelaskan kepada para peneroka secara berperingkat-peringkat selepas perayaan Tahun Baru Cina.

Menurutnya, beliau sendiri akan turun padang mengetuai misi penerangan tersebut bagi membolehkan peneroka memahami tentang isu berkenaan.

"Dua siri penerangan melibatkan peneroka di beberapa buah tanah rancangan sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan apabila mereka mula menyedari rasional penyenaraian FGVH.

"Selepas mendapatkan penerangan sebenar, mereka tidak lagi terkeliru dengan dakwaan pembangkang yang mendakwa kononnya aset serta tanah peneroka akan hilang jika syarikat Felda itu disenaraikan kerana tanah terbabit dijadikan cagaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pemantapan Jentera Pilihan Raya Pergerakan Wanita Barisan Nasional (BN) Pahang di Temerloh, Jumaat lalu.

Turut hadir, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Menurut Adnan, tidak ada sebab tanah milik peneroka dicagar atau digadai kerana ia hanya membabitkan tanah Felda Plantation sahaja yang seluas 180,000 hektar.

Tambah beliau, setelah mendapatkan penjelasan menerusi majlis dialog, peneroka tiada hak menghalang syarikat FGVH disenaraikan.

Beliau berkata, penyenaraian FGVH akan memberi banyak manfaat kepada peneroka apabila Koperasi Permodalan Felda (KPF) menjadi pemegang terbesar.

Katanya, hasil yang dikeluarkan daripada ladang milik peneroka tidak terbabit langsung dalam penyenaraian FGVH dan mereka menerima hasil sepenuhnya seperti yang ada sekarang.

Adnan yakin apabila misi penerangan dilakukan nanti, peneroka akan faham sekali gus menyokong penuh usaha Felda menyenaraikan FGVH di Bursa Malaysia yang dijangka dilakukan pertengahan tahun nanti. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment