My Add

Monday 9 January 2012

Tuanku Haminah seru graduan perubatan MSU berkhidmat dengan baik

TUANKU Haminah Hamidun menyampaikan Anugerah Pingat Emas Canselor kepada Muhammad Fairuz Shah Abd. Karim pada Majlis Konvokesyen Ke-10 MSU di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM, ISNIN, 09 Januari, 2012: Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah Hamidun menyeru graduan perubatan pertama Management and Science University (MSU) berkhidmat dengan baik agar dapat membantu menampung kekurangan doktor di negara ini.

Tuanku Haminah berharap kesemua 60 graduan sulung Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) itu dapat mencurahkan khidmat secara profesional, memelihara etika dan bersifat ikhlas serta penyayang dalam menjaga kesejahteraan kesihatan setiap lapisan rakyat.

"Sesungguhnya beta berasa amat bangga kerana pada hari ini MSU telah berjaya melahirkan graduan sulung program perubatan dengan International Medical School (IMS) MSU di kampus Bangolore, India," titah Raja Permaisuri Agong sempena Majlis Konvokesyen ke-10 MSU di sini, semalam.

Pada majlis konvokesyen itu, seramai 647 graduan menerima diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana masing-masing.

Hadir sama, Pro Canselor MSU, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin dan Presiden MSU, Prof. Datuk Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajib.

Selain itu, Tuanku Haminah turut mengingatkan setiap graduan yang berjaya supaya tidak lupa untuk menyumbang kembali kepada universiti dalam apa cara sekali pun termasuk melalui program alumni.

Tuanku Haminah turut melahirkan rasa bangga dan gembira dengan pembinaan kampus serba moden MSU yang dijangka siap menjelang 2013.

"Pembangunan kampus serba moden dan terkini MSU yang melibatkan kos keseluruhan mencecah RM570 juta dengan tiga fasa pembinaan dan dijangka siap pada 2013 amat menggembirakan beta.

"Beta sukacita kerana difahamkan pembangunan fasa pertama siap sepenuhnya manakala fasa kedua akan siap tahun ini dan beta difahamkan fasa ketiga dimulakan pembinaannya membabitkan hospital dan asrama pelajar," titah Tuanku Haminah.

Sementara itu, majlis konvokesyen MSU kali ini mencatat sejarah tersendiri apabila seramai tujuh pasangan suami isteri menerima Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS).

Malah, mereka turut mencipta sejarah apabila menjadi sebahagian daripada 60 graduan pertama MBBS yang mengikuti program berkenaan di kampus cawangan MSU di Bangalore, India termasuk penerima Anugerah Pingat Emas Canselor, Muhammad Fairuz Shah Abd. Karim bersama isterinya, Syazwana Mohd. Zaki.

Pasangan suami isteri yang lain ialah Mohd. Asri Mohd. Aris dan Anies Asma'i Muhammad Zaki; Mohd. Afiq Abdullah dan Nur Amalina Abdul Moktar; Faeiz Syezri Adzmin Jaaffar dan Noor Shazwani Paiman; Abdul Karim Zaki Ismail dan Sofizah Sabri; Mohd. Zairul Zamir Zulkefli dan Nadzrin Md. Yusof serta Erman Ruzaini A. Hamid dan Norhanis Nazar Shah.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut, Muhammad Fairuz, 25, berkata, dia berbangga kerana kejayaannya bukan sahaja memberi kegembiraan kepada ahli keluarganya malah ia turut membanggakan seluruh warga universiti berkenaan.

"Peluang untuk melanjutkan pengajian di luar negara membuatkan saya berminat untuk menyambung pengajian dalam program MBBS yang ditawarkan MSU," katanya yang mengikuti program itu selama lima tahun di Bangalore, India.

Muhammad Fairuz yang merupakan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kulim, Kedah itu berkata, dia sentiasa menjadikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai sumber inspirasinya untuk berjaya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment