My Add

Thursday 5 January 2012

UPP BKH rampas petrol, diesel cuba diseludup ke Thailand

KPDNKK Pulau Pinang pula rampas diesel, petrol subsidi bernilai RM110,000

BUKIT KAYU HITAM, KHAMIS, 05 Januari, 2012: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam merampas sejumlah 1,900 liter petrol dan 1,600 liter diesel daripada beberapa kenderaan di Kilometer 1.3 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Thailand dan di kawasan perindustrian di sini dalam operasi berasingan. 

Timbalan Komander Operasi Negeri Kedah, Noor Mohamed Shaik Alaudin, berkata UPP menahan sebuah treler tanpa muatan milik Thailand di kawasan perindustrian berkenaan pada kira-kira jam 3 petang semalam dan mendapati kenderaan itu mempunyai tangki minyak tambahan dengan muatan diesel sebanyak 500 liter.

"Pagi tadi pula kita menahan enam kenderaan iaitu empat kereta jenis Proton Saga, sebuah van Thailand dan sebuah kenderaan jenis Ford (Thailand) semasa melakukan sekatan di Kilometer 1.3 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Thailand kerana disyaki cuba menyeludup minyak bersubsidi," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati semua kenderaan itu diubah suai dengan meletak tangki tambahan dalam but dan menggunakan alas tempat duduk bagi melindungi tangki di tempat duduk belakang. 

"Kenderaan yang diubah suai itu boleh memuatkan kira-kira 500 liter petrol atau diesel dalam satu masa. 

"Tujuh orang ditahan iaitu lima rakyat tempatan dan dua warganegara Thailand. Berdasarkan siasatan awal, semua mereka tidak pernah ditahan untuk kes yang sama sebelum ini," katanya.

Nilai petrol dan diesel yang dirampas ialah RM6,480 manakala nilai kenderaan kira-kira RM260,000. 

Beliau berkata, kes itu diserahkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Alor Setar serta Kubang Pasu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.  

KPDNKK Pulau Pinang rampas diesel, petrol subsidi bernilai RM110,000

Sementara itu di NIBONG TEBAL, BERNAMA melaporkan  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang menyerbu sebuah gudang dan merampas 40,000 liter diesel dan 14,650 liter petrol bersubsidi bernilai RM110,000 dalam satu operasi di Simpang Ampat Tasek, dekat sini, awal pagi tadi. 

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Seberang Perai Tengah, Mohd Zainal Yeop Dahari, berkata pihaknya menjalankan risikan dan intipan sejak petang semalam sebelum menyerbu gudang berkenaan pada jam 4.30 pagi ini.

"Intipan dijalankan sejak petang semalam selepas anggota penguat kuasa kita yang melakukan risikan berasa curiga dengan pengerakan beberapa buah lori tangki yang masuk dan keluar ke gudang berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, semasa serbuan dilakukan terdapat beberapa lelaki yang dipercayai anggota sindiket jual beli diesel dan petrol subsidi di dalam gudang berkenaan, bagaimanapun mereka berjaya melarikan diri. 

Katanya, pemeriksaan mendapati gudang berkenaan menempatkan beberapa tangki statik untuk menyimpan diesel selain sebuah lori tangki penuh dengan petrol. 

"Siasatan awal mendapati gudang itu beroperasi sejak dua bulan lalu dan ia dipagar dengan zink supaya kelihatan seperti sebuah kilang untuk perusahaan kecil dan sederhana (IKS) bagi mengelirukan pihak berkuasa," katanya. 

Mohd Zainal berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas 40,000 liter diesel yang disembunyikan dalam tangki statik dan sebuah lori tangki mengandungi 14,650 liter petrol, kesemuanya bernilai RM110,000. 
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati gudang berkenaan tidak mempunyai lesen menyimpan diesel dan petrol. 

Pihaknya kini sedang giat mengesan pemilik gudang dan mereka yang terbabit dengan aktiviti haram berkenaan. 

"Kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya. - BERNAMA 





No comments:

Post a Comment