My Add

Wednesday 25 January 2012

UTM tawar pendidikan perisian

ZAINI Ujang bertukar-tukar dokumen MoU dengan Ibrahim Thamby Chik (kiri) sambil diperhatikan oleh Ivan Ng di UTM Skudai, Johor Bahru, baru-baru ini.

Oleh AZIZI MAJID

JOHOR BAHRU, RABU, 25 Januari, 2012: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) baru-baru ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama syarikat Hewlett-Packard (M) Sdn. Bhd. (HP) dan Technology Education Leader Sdn. Bhd. (TEL) dalam menawarkan Program Pendidikan Perisian kepada 100 mahasiswa universiti berkenaan.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, program tersebut ditawarkan kepada penuntut tahun akhir Fakulti Sains Komputer dan Sistem Maklumat yang akan menamatkan pengajian Jun ini yang mana mereka perlu melalui proses penapisan terlebih dahulu sebelum dibenarkan mengikuti program selama enam minggu itu.

“MoU yang pertama kali diadakan di antara UTM dengan kedua-dua syarikat ini bertujuan meningkatkan kebolehpasaran mahasiswa, khususnya dalam bidang perisian.

“Kedua-dua syarikat ini juga akan memantau perkembangan penuntut berkenaan, selain mendapatkan kerja bagi peserta terlibat di dalam syarikat berkenaan sebaik tamat kursus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis menandatangani MoU bersama Pengarah HP Asia Tenggara, Ivan Ng dan Pengerusi TEL, Datuk Ibrahim Thamby Chik di Bangunan Canselori Sultan Ibrahim UTM di sini, baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif TEL, Datin Zaharah Jelani dan Pengurus Negara HP, Chew Kai Peng.

Menurut Zaini, kedua-dua syarikat berkenaan akan menyediakan latihan peringkat industri, tenaga pengajar terlatih dan perisian latihan sepanjang program berkenaan.

“Kerjasama seumpama ini diharap dapat meningkatkan kualiti graduan dan program pengajian di UTM dalam memenuhi keperluan semasa industri terutama dalam bidang perisian komputer.

“Ia juga diharap menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih meluas dan perkongsian kepakaran seperti penubuhan makmal pengujian perisian di UTM pada masa akan datang,” katanya.

Katanya, program dua tahun itu diharap dapat diteruskan pada masa akan datang kerana dilihat banyak memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak. -UTUSAN

No comments:

Post a Comment