My Add

Wednesday 25 January 2012

300 pelajar KAYM teruja terima BB1M

MELAKA, RABU, 2 Januari, 2012: Usaha kerajaan membantu meringankan beban mahasiswa untuk mendapatkan bahan bacaan disambut baik oleh lebih 300 penuntut Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) di sini yang hadir pada majlis penyerahan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) baru-baru ini.

Penyerahan replika cek bernilai RM403,800 untuk diagihkan kepada 2,019 penuntut kolej itu disampaikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad kepada Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) KAYM, Aphichat Rattanakul, 21, pada majlis yang diadakan di Auditorium KAYM di sini.

Menurut Aphichat, sumbangan tersebut antara inisiatif terbaik yang dilakukan oleh kerajaan dalam membantu penuntut institusi pengajian tinggi.

"Sebagai pelajar, buku amat penting sebagai bahan rujukan selain pengajaran yang disampaikan oleh pensyarah di dalam kuliah memandangkan tidak semua aliran di universiti ini mempunyai buku teks sendiri.

"Kalau tahun-tahun lepas saya memperuntukkan sebanyak RM50 untuk membeli alat tulis, kali ini dengan adanya bantuan saya boleh menyediakan peruntukan yang lebih untuk membeli peralatan pelajaran yang lain," kata penuntut semester lima Diploma Teknologi Elektrik itu.

Aphichat berharap bantuan tersebut diteruskan dan diperuntukkan pada setiap semester oleh kerajaan.

Seorang lagi penuntut, Flora Telun, 23, berkata, sebagai mahasiswa Ijazah Pengurusan Perniagaan di kolej tersebut, bantuan itu ternyata meringankan beban kewangan yang ditanggungnya kerana kebanyakan buku yang diperlukan sebagai bahan rujukan adalah mahal.

"Buku rujukan yang paling murah adalah RM30. Saya lega apabila kerajaan mengumumkan memberi bantuan BB1M kepada mahasiswa kerana saya sudah merasai bertapa susah nak peruntukkan wang untuk membeli buku pelajaran," katanya.

Dalam pada itu, penuntut semester tiga jurusan Diploma Teknologi Multimedia, Azwan Shafiq, 20, menganggap BB1M sesuatu yang tidak dijangka dan merupakan berita gembira yang seharusnya disambut baik oleh golongan penuntut.

"Apa yang saya harapkan rakan-rakan tidak mensesiakan bantuan yang diberikan oleh kerajaan dan berharap ia akan diteruskan pada masa akan datang.

"Jurusan teknologi multimedia memerlukan saya melakukan banyak tugasan luar.

"Dengan adanya bantuan ini beban perbelanjaan saya untuk menjalankan tugasan luar dapat diringankan kerana peruntukan yang sebelum ini digunakan untuk membeli buku dapat disalurkan kepada tugasan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment