My Add

Friday 1 February 2013

Ambil iktibar kesengsaraan hidup penduduk Palestin di Gaza

 *ROSMAH Mansor (kiri) beramah mesra dengan ahli al Wardah yang menerima anugerah selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Kedua Kelab Kebajikan Dan Pendidikan al Wardah Pahang di Sempurna Resort, Kuantan, Pahang, semalam. - UTUSAN/MAHATHIR ALI
KUANTAN, KHAMIS, 31 Januari, 2013: Kesengsaraan hidup penduduk Gaza perlu dijadikan iktibar oleh semua pihak kerana keamanan yang dikecapi negara ini boleh musnah pada bila-bila masa jika rakyat tidak bersatu.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, pengalaman beliau bersama Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Gaza baru-baru ini amat menyentuh perasaannya apabila melihat keadaan kehidupan penduduk Palestin yang tidak sempurna.

"Mereka sentiasa hidup dalam kesengsaraan tanpa menikmati keamanan dan kesejahteraan hidup. Malah, apabila menghantar anak-anak ke sekolah, ibu bapa di sana akan mencium anak mereka sepuas yang mungkin.

"Mereka akan memeluk anak dengan penuh rasa sayang sambil menangis. Ini kerana mereka tidak tahu sama ada anak-anak ini akan kembali ke pangkuan setelah pergi ke sekolah," katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Kali Kedua Kelab Kebajikan Dan Pendidikan al Wardah Pahang di sini hari ini.

Yang turut hadir, isteri Menteri Besar, Datin Seri Junaini Kassim dan Penaung Kelab Kebajikan dan Pendidikan al Wardah Pahang, Norwati Ishak.

Rosmah berkata, ketika melawat hospital di sana terdapat ramai pesakit kanak-kanak yang menghidap penyakit leukemia dan barah disebabkan kesan radiasi daripada bom Israel.

"Kanak-kanak ini terpaksa menjalani kemoterapi dan ada seorang daripada mereka berumur tiga tahun terpaksa menjalani rawatan itu berkali-kali sehingga menyebabkan dia tidak boleh bercakap," katanya.

Sambil mengakui terdapat perasaan takut ketika berada di sana, Rosmah berkata, beliau hanya berserah kepada Allah kerana keadaan keselamatan di sana tidak menentu.

"Walaupun isteri Perdana Menteri Gaza cakap dekat saya jangan risau kerana keselamatan di sini amat bagus, namun saya tetap berserah kepada Allah Taala, hidup hiduplah. Beliau turut membawa saya ke banyak tempat, malah tiada dalam jadual pun dia bawa," katanya.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan untuk ke satu tempat yang dilawati, beliau ternampak askar Israel sedang berjaga di sempadan iaitu kira-kira 800 meter daripada kereta dinaikinya.

"Itulah keadaan yang terpaksa dihadapi mereka setiap hari. Saya pergi ke universiti nampak bangunan memang cantik tetapi di tepinya habis rumah kena bom oleh Israel," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment