My Add

Saturday 9 February 2013

BN Terengganu pastikan Pas tidak kembali berkuasa - Ahmad Said

*AHMAD Said (dua kiri) menyaksikan pertukaran dokumen antara Dr. David Khoo Sin Keat (kiri) dengan Prof. Dr Hardi Darmawan pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama di iHEAL Medical Centre, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 08 Februari, 2013: Barisan Nasional (BN) Terengganu akan berusaha keras memastikan Pas tidak kembali berkuasa di negeri itu seperti yang berlaku pada pilihan raya umum 1999.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said berkata, BN Terengganu juga yakin dapat mempertahankan negeri itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 berdasarkan beberapa faktor termasuk peningkatan sokongan rakyat terhadap parti berkenaan.

Menurut beliau, beberapa kajian pihaknya menunjukkan rakyat negeri itu menyambut baik transformasi dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang jelas memberi penekanan terhadap kebajikan mereka.

"Bagi saya sasaran Pas Terengganu untuk menang 22 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya untuk menyedapkan hati penyokong mereka.

"Sebaliknya, saya yakin 24 kerusi DUN yang dimenangi BN dahulu akan dapat dipertahankan malah kita yakin menang empat lagi kerusi termasuk DUN Rhu Rendang yang kini disandang Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara iHeal Medical Centre dengan Hospital Charitas dari Palembang, Indonesia, di sini hari ini.

Pengarah Perubatan iHEAL Medical Centre diwakili oleh Dr. David Khoo Sin Keat manakala Pengarah Hospital Charitas, Prof. Dr Hardi Darmawan.

Kerjasama itu melibatkan pemindahan teknologi perubatan serta kepakaran antara kedua-dua pihak dalam usaha menjadikan ASEAN lokasi pilihan dunia bagi mendapatkan rawatan kesihatan terbaik dengan bayaran berpatutan.

Ahmad mengulas keyakinan Pas merampas semula negeri itu dalam pilihan raya umum akan datang dengan sasaran memenangi 22 kerusi DUN.

Pas pernah memerintah Terengganu selama lima tahun selepas Pilihan Raya Umum Ke-10 namun gagal berfungsi sebagai sebuah kerajaan berkesan sehingga menjadi punca BN menang dengan majoriti besar dalam pilihan raya umum 2004.

Menurut Ahmad, majoriti rakyat Terengganu masih mengingati dengan jelas kezaliman kerajaan Pas sewaktu memerintah negeri itu pada 1999 yang mengarahkan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas ditutup.

Selain itu, katanya, isu terkini seperti pendirian Pas yang berubah-ubah dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam turut menjadi faktor penolakan rakyat terhadap parti tersebut.

"Rakyat kini semakin celik, dengan Pas yang jelas menggunakan agama untuk meraih undi sedangkan janji melaksanakan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam hanya tinggal sejarah sejak bekerjasama dengan DAP," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment