My Add

Friday, 1 February 2013

BN Youth Jobs Fair diserbu pencari pekerjaan

 *NAJIB Tun Razak diiringi Ketua Pemuda Barisan Nasional, Khairy Jamaluddin meluangkan masa mengunjungi BN Youth Jobs Fair sempena Program Himpunan Orang Muda Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah, semalam. - BERNAMA

ALOR SETAR, KHAMIS, 31 Januari, 2013: Ruang pameran BN Youth Jobs Fair sempena Himpunan Orang Muda Kedah Bersama Perdana Menteri di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, diserbu oleh para pengunjung hari ini.

Pameran yang bermula pukul 10 pagi itu mencatatkan kunjungan hampir 2,000 pencari pekerjaan hanya dalam tempoh satu jam berikutan diyakini mampu membantu mereka mendapatkan kerja dengan mudah.

Pengunjung, Mohd. Fadzrul Reeza Mohd. Fuad, 22, berkata, sambutan menggalakkan itu menunjukkan pameran pekerjaan tersebut perlu diadakan setiap tahun untuk memudahkan pencari kerja mencari pekerjaan.

"Langkah mengadakan pameran pekerjaan ini amat baik kerana dapat berhubung secara terus dengan bakal majikan dan boleh bertanyakan secara terus mengenai skop pekerjaan.

"Pameran ini perlu juga perlu diadakan di kawasan yang berbeza terutama di daerah pedalaman dan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di BN Youth Jobs Fair di stadium itu di Jalan Suka Menanti, di sini hari ini.

Bagi Khalisah Hasma Kasim, 24, berkata, berbeza dengan pameran lain, peluang pekerjaan yang ditawarkan di BN Youth Jobs Fair lebih banyak berbanding pameran pekerjaan yang pernah dikunjungi sebelum ini dan memudahkan pemilihan dibuat.

Dia yang merupakan lepasan ijazah Biologi Pemuliharaan Universiti Malaysia Sarawak (UMS) berkata, pengunjung yang hadir pada pameran tersebut lebih mudah mencari pekerjaan mengikut kemahiran dan kemampuan diri mereka.

"Saya mengetahui mengenai 'job fair' yang diadakan ini menerusi iklan dan terus mengajak rakan saya untuk berkunjung ke sini.

"Pameran yang diadakan ini bukan sahaja memberi peluang kepada pencari kerja malah tawaran kursus dan pengajian turut disediakan," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Mohd. Roshidi Sharif, 26, berkata, terdapat pelbagai peluang pekerjaan yang ditawarkan dalam program tersebut termasuk bidang yang dipelajarinya iaitu pengurusan sumber manusia.

Dia berkata, BN Youth Jobs Fair boleh dijadikan satu platform utama bagi mereka yang ingin mencari pekerjaan baharu dan harus dikunjungi terutama mereka yang pertama kali mencari pekerjaan.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO negeri, Badrol Hisham Hashim berkata, terdapat 83 syarikat agensi kerajaan dan swasta menawarkan sebanyak 4,451 peluang pekerjaan sepanjang program berkenaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment