My Add

Friday 1 February 2013

Dr Mahathir sedia beri keterangan kepada RCI

Oleh Haika Khazi dan Syed Azwan Syed Ali 

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Januari, 2013: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan Datuk Seri Anwar Ibrahim turut terbabit dalam proses pemberian kad pengenalan Malaysia kepada pendatang asing di Sabah pada 1990-an.

“Tindakan Anwar adalah di luar pengetahuan dan saya tidak memberikan arahan sedemikian. Projek pemberian kad pengenalan boleh berlaku tanpa pengetahuan saya dan arahan pihak atasan.

“Anwar ketika itu ada kuasa tetapi apa pun yang berlaku tidak semestinya arahan pihak atasan kerana Anwar biasanya membuat sesuatu yang bertentangan dengan arahan.

“Bagaimanapun, saya tidak mempunyai bukti, tetapi kadang kala kita tahu apa yang berlaku,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Malaysia Strategic Outlook 2013 di sini, semalam.

Dr Mahathir diminta mengulas sama ada beliau pernah mengarahkan Anwar, ketika itu timbalannya, supaya mengeluarkan kad pengenalan kepada pendatang asing yang tidak berkelayakan di negeri terbabit.

Bekas Perdana Menteri itu juga berkata, beliau akan memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di Sabah jika dipanggil berbuat demikian.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan surat arahan yang didakwa kononnya dikeluarkan Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) meminta pengarah bahagian dan daerah menghantar kad pengenalan tidak dituntut dalam masa 18 bulan ke Keningau, Sabah adalah surat palsu. 

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, tindakan pemimpin pembangkang tertentu menggunakan surat palsu itu tanpa menyemak kesahihan faktanya dengan JPN menunjukkan mereka kini terdesak dan ketandusan idea menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Sehubungan itu, Hishammuddin, yang juga Naib Presiden UMNO meminta orang ramai lebih berhati-hati dan jangan mudah percaya dengan sebarang khabar angin disebarkan pihak tertentu menerusi laman sosial atau internet.

Beliau berkata, orang ramai perlu memberi masa secukupnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kebenaran semua dakwaan sebelum sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan mengenainya.

“Dalam kes ini, JPN baru mengesahkan kepada saya bahawa ia adalah surat palsu dan tuduhan ini sengaja dibuat pihak tertentu. Inilah suasana landskap politik hari ini.

“Malah, saya difahamkan Ketua Pengarah JPN, Datuk Jariah Mohd Said, membuat laporan polis berhubung penyebaran surat palsu berkenaan,” katanya selepas majlis sambutan Hari Imigresen 2013, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di Putrajaya, semalam.

Kelmarin, media melaporkan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, meminta JPN dan KDN memberikan penjelasan berhubung surat yang didakwa dikeluarkan pengarah bahagian kad pengenalan JPN kepada semua pengarah negeri dan daerah di seluruh negara. - BH

No comments:

Post a Comment