My Add

Friday 1 February 2013

Tukar kerajaan undang bencana...

Oleh AINUL ASNIERA AHSAN

 *DR. Mahathir Mohamad memotong kek ulang tahun ke-20 Institut Kepimpinan Strategik Asia di Hotel Sunway, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AZLIZA HAILANI
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Januari, 2013: Tun Dr. Mahathir Mohamad percaya hanya kemenangan majoriti dua pertiga oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti mampu melonjakkan transformasi negara dan ekonomi yang digarap oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Justeru, bekas Perdana Menteri mengingatkan rakyat supaya bersedia untuk menerima padah yang bakal menanti sekiranya mahu melakukan perubahan atas sebab mahu melihat pertukaran kerajaan semata-mata.

Menurut beliau, pertukaran kerajaan akan menyaksikan perubahan radikal, sekali gus boleh merencatkan keseluruhan pergerakan proses pembangunan negara.

"Pertukaran akan hanya mengundang bencana kerana menyebabkan ketidaktentuan dalam pelbagai aspek, politik, kestabilan negara dan ekonomi. Adakah rakyat bersedia untuk menerima akibat ini? Fikirlah baik-baik," tegas beliau.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis makan tengah hari anjuran Institut Kepimpinan Strategik Asia (ASLI), di sini hari ini.

Majlis sempena sambutan ulang tahun ke-20 ASLI itu turut dihadiri oleh isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Presiden ASLI, Mirzan Mahathir dan Ketua Pengawai Eksekutif ASLI, Tan Sri Michael Yeoh.

Dr. Mahathir berkata, rakyat Malaysia boleh menjadikan kisah pertukaran pemerintahan di Uganda sebagai iktibar.

"Rakyat Uganda pernah menolak kerajaan Milton Obote dan memilih Idi Amin atas alasan Obote tidak mesra rakyat meskipun pemerintahannya cukup baik.

"Akibatnya, pemilihan Amin mengakibatkan Uganda kucar-kacir dan akhirnya rakyat menderita. Begitu juga dalam pemilihan Barrack Obama dengan alasan rakyat Amerika Syarikat mahukan perubahan kerajaan yang lebih baik.

"Memanglah selepas dua hari kemenangannya, Obama membuat keputusan drastik dengan menutup penjara Guantanamo tetapi sampai hari ini penjara itu masih berpenghuni.

"Apa yang boleh saya katakan ialah bukan mudah untuk melakukan perubahan apatah lagi apa yang ada sudah terlalu kukuh," katanya.

Tegas beliau, rakyat perlu sedar, pakatan pembangkang langsung tidak mempunyai agenda terhadap pembangunan negara berbanding Kerajaan BN.

Beliau yakin dan percaya hanya Kerajaan BN mampu melaksanakan kepimpinan yang lebih baik sekiranya diberikan majoriti besar dalam PRU-13 nanti.

"Saya akui bukan mudah bagi Perdana Menteri untuk memerintah negara dalam keadaan majoriti lemah. Dalam keadaan sekarang, Najib terpaksa menghadapi permintaan dan gangguan pelbagai pihak sehingga menjejaskan tumpuan kepada perkara lain.

"Saya tahu orang akan tuduh saya berat sebelah dalam perkara ini, tetapi perkara ini perlu diakui, terlalu banyak gangguan politik memang tidak baik untuk negara," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment