My Add

Sunday, 24 February 2013

GLC bantu kerajaan kurang beban rakyat: Nor Mohamed

TASEK GELUGOR, AHAD, 24 Februari, 2013: Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan Syarikat Milik Kerajaan (GLC) dan syarikat korporat banyak membantu kerajaan dalam mengurangkan beban rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata mereka memperuntukkan sehingga jutaan ringgit setiap tahun bagi membantu rakyat yang kurang berkemampuan.

"Sebagai contohnya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah melaksanakan program Sekolah Pintar dengan menyalurkan dana bagi membantu sekolah- sekolah terpilih di negara ini meningkatkan tahap prestasi murid-murid mereka di dalam peperiksaan.

"Malah program Baiti Jannati yang dilaksanakan oleh TNB juga telah banyak membantu golongan kurang mampu untuk memiliki sebuah rumah yang lebih selesa," katanya selepas merasmikan Program Bersama Komuniti TNB peringkat negeri Pulau Pinang yang diadakan di Padang Awam Jarak Atas di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden Penjanaan TNB Zainuddin Ibrahim dan Naib Presiden Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi TNB, Adelina Iskandar.

Nor Mohamed yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, kerajaan tidak mampu untuk melaksanakan semua perkara bersendirian, sebab itulah program CSR seperti yang dilaksanakan GLC dan syarikat korporat penting dalam membantu kerajaan menggembirakan rakyat.

"Pada masa sama, ia juga mengeratkan hubungan antara GLC dan syarikat berkenaan dengan rakyat terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya.
Katanya, pihak GLC juga dapat mempelbagaikan bentuk program CSR mereka dengan tidak hanya tertumpu kepada pemberian sumbangan dan dana tahunan semata-mata.

Beliau berkata, pihak GLC boleh memperluaskan skop program CSR dengan turun padang dan menjalankan aktiviti kemasyarakatan agar hubungan dua hala antara mereka dan orang ramai dapat terjalin dengan lebih erat.

"Menerusi program CSR, GLC dan syarikat korporat perlu ambil peluang untuk turun padang dan bertanya khabar rakyat menerusi aktiviti- aktiviti yang melibatkan rakyat secara terus dan ia lebih meninggalkan kesan dalam hati rakyat berbanding hanya memberi sumbangan dan dana sahaja," katanya.

Sementara itu, Adelina berkata, setiap tahun TNB memperuntukkan jutaan ringit bagi program CSR untuk membantu masyarakat terutama pelajar sekolah.

"Pelbagai program dijalankan menerusi CSR TNB antaranya program Sekolah Pintar dan sebanyak 16 buah sekolah di seluruh Malaysia telah menjadi anak angkat TNB.

"Setiap sekolah berkenaan akan mendapat RM20,000 untuk membantu pelajar-pelajar meningkatkan mutu pelajaran mereka. Selain itu kita turut sediakan sejumlah dana untuk Yayasan TNB bagi membantu lebih ramai pelajar mendapat pendidikan di peringkat lebih tinggi," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment