PR1MA di Pulau Pinang akan dilaksana oleh agensi kerajaan
GEORGETOWN, JUMAAT, 01 Februari, 2013: Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Pulau Pinanakan dilaksanakan oleh agensi kerajaan seperti Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dan JKP Sdn Bhd.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata kerajaan sudah membahagikan tugas kepada agensi berkenaan untuk membina rumah mampu milik kepada penduduk di Pulau Pinang.
"Cuma saya bimbang projek itu gagal dilaksanakan di negeri ini kerana tindakan kerajaan negeri yang sengaja melambatkan proses meluluskan pembinaannya," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang di sini, hari ini.
Nor Mohamed yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, beliau difahamkan beberapa projek JKP Sdn Bhd dan PERDA untuk pembinaan perumahan mampu milik belum diluluskan sehingga sekarang.
"Ada yang hantar pelan sejak tiga tahun lalu tetapi sehingga hari ini belum diluluskan, kita berharap kerajaan negeri dapat pertimbangkan meluluskan segera demi kepentingan rakyat Pulau Pinang," katanya
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya mengakui perkara itu apabila ada projek perumahan kos murah yang diusahakan JKP Sdn Bhd di kawasannya iaitu Permatang Pasir sehingga hari ini belum diluluskan.
Beliau berkata, projek itu sepatutnya siap tahun ini kerana ia dirancang sejak empat tahun lalu.
"Kerajaan negeri bersikap negatif apabila bertindak tidak meluluskan projek perumahan kos murah dan rendah di atas tanah seluas 2.4 hektar tetapi apabila melibatkan projek rumah mewah dengan segera ia diluluskan.
"Sekarang ini di Balik Pulau rumah mewah seperti banglo yang bernilai lebih RM1 juta memang banyak dan macam kawasan hutan batu pula kerana ia dibina di kawasan-kawasan kampung," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment