My Add

Thursday 21 February 2013

India, Greece dilanda mogok

 *PEKERJA India menyertai demonstrasi sebagai menyahut seruan kesatuan sekerja yang menentang polisi 'antiburuh' yang diperkenalkan kerajaan semasa tunjuk perasaan di Hyderabad, semalam. - AFP

NEW DELHI, RABU, 20 Februari, 2013: Berjuta-juta pekerja India mengadakan tunjuk perasaan selama dua hari secara besar-besaran di seluruh negara hari ini bagi menyatakan bantahan terhadap polisi 'antiburuh' yang diperkenalkan kerajaan.

Perkhidmatan pengangkutan dan kewangan lumpuh berikutan tunjuk perasaan oleh 11 kumpulan pekerja utama, dalam bantahan terhadap siri reformasi ekonomi pro pasaran yang diumumkan oleh kerajaan tahun lalu, termasuk kenaikan harga minyak dan inflasi di negara ini.

Perdana Menteri India, Manmohan Singh, merayu kesatuan tersebut agar tidak meneruskan tunjuk perasaan, dengan memberi amaran ia boleh menyebabkan kerugian kepada ekonomi yang sememangnya lembap sejak lebih sedekad lalu.

Namun, rundingan berhubung rayuan Manmohan minggu ini gagal selepas kerajaan enggan menunaikan permintaan kesatuan untuk menarik balik reformasi, yang disasarkan untuk melonjak ekonomi serta mengalih penurunan kadar kredit India.

"Pekerja dipinggirkan sepenuhnya dan ini jelas kelihatan dalam polisi antiburuh kerajaan India," kata Setiausaha Agung, Centre of Indian Trade Unions, Tapan Sen.

Sementara itu di Athens, Greece, beribu-ribu pekerja di negara ini mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran hari ini bagi menentang pemotongan gaji dan cukai tinggi yang dilaksanakan kerajaan.

Tunjuk perasaan tersebut menyebabkan perkhidmatan pengangkutan tergendala, sekolah-sekolah ditutup dan hanya pekerja kecemasan sahaja bertugas di hospital.

Dua kesatuan buruh terbesar Greece mengadakan bantahan selama 24 jam di negara yang hampir muflis itu, yang didakwa mereka menyebabkan rakyat sengsara.

Diwakili sebanyak 2.5 juta pekerja, kesatuan-kesatuan itu mengadakan tunjuk perasaan berulang kali sejak krisis hutang Eropah melanda benua itu penghujung 2009, menyukarkan matlamat kerajaan untuk melaksanakan reformasi.

"Tunjuk perasaan ini merupakan jawapan kami bagi polisi tidak berasas yang menekan kehidupan kami, menyebabkan masyarakat bertambah derita dan meletakkan ekonomi kepada krisis dan kemelesetan," kata Gabungan Kesatuan Sektor Awam Greece (GSEE), yang menganjurkan tunjuk perasaan itu bersama Gabungan Kesatuan Sektor Awam Greece (ADEDY). - AFP/ REUTERS/UTUSAN

No comments:

Post a Comment