My Add

Thursday 21 February 2013

Prosiding RCI ketiga bersidang esok

KUALA LUMPUR, RABU, 20 Februari, 2013: Prosiding ketiga Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing di Sabah (RCI) akan diadakan pada 22 hingga 23 Februari 2013 bertempat di Mahkamah Persekutuan, Kompleks Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Sabah.

Setiausaha RCI, Datuk Saripuddin Kasim berkata, prosiding akan bermula pukul 9.30 pagi.

‘‘Orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang andaian mahupun kesimpulan sehingga suruhanjaya selesai menjalankan siasatannya,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

RCI yang ditubuhkan bagi menyiasat kebanjiran pendatang asing di Sabah telah memulakan prosiding pertama pada 14 Januari manakala prosiding kedua diadakan 29 Januari hingga 1 Februari lalu.

Pada 21 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyerahkan watikah pelantikan kepada pengerusi dan anggota jawatankuasa RCI di Putrajaya.

Suruhanjaya terbabit dianggotai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Saripuddin; bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Prof. Datuk Dr. Kamaruzzaman Ampon; bekas Peguam Besar Negeri Sabah, Tan Sri Herman Luping; bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk K. Y Mustafa dan Timbalan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia yang juga bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Henry Chin Poy Wu.

Melalui penubuhan suruhanjaya ini, kerajaan komited menangani masalah berkaitan pendatang asing tanpa izin di Sabah kerana isu itu mampu menjejaskan kesejahteraan dan keharmonian rakyat Sabah.

Kerajaan juga berharap warga negeri Sabah akan mengambil manfaat daripadanya untuk bersama-sama kerajaan dalam mencari strategi dan pendekatan terbaik bagi menangani masalah pendatang tanpa izin di negeri itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment