My Add

Thursday 21 February 2013

Persiapan awal Iskandar Malaysia

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY
 NUSAJAYA, RABU, 20 Februari, 2013: Iskandar Malaysia memerlukan sistem pengangkutan awam yang efisien dan efektif dengan sasaran nisbah pengangkutan awam kepada pengangkutan persendirian 50:50 menjelang 2025.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, sasaran tersebut perlu dicapai menerusi kemudahan pengangkutan awam yang integratif seawal 2018 berserta pendidikan, promosi dan kempen secara berterusan.

"Perjalanan rancangan pembangunan Iskandar Malaysia adalah mencapai kematangan pada tahun 2025, tetapi ada sasaran-sasaran yang tidak boleh menunggu sehingga tahun itu dan perlu diwujudkan serta digerakkan lebih awal untuk komuniti perniagaan dan masyarakat itu sendiri.

"Kita harap apabila siapnya keretapi laju yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, Sistem Transit Pantas (RTS), Bas Rapid Transit serta pendidikan dan kesedaran awam, Iskandar Malaysia bakal memiliki kemudahan pengangkutan integratif seawal 2018," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan tengah hari bersama ketua-ketua biro media di Bukit Indah, di sini hari ini.

Ismail berkata, IRDA juga sedang mengkaji pelaksanaan sistem kawalan yang mengehadkan kemasukan kenderaan persendirian di kawasan berkepadatan tinggi di Iskandar Malaysia menjelang 2025 memandangkan pertambahan penduduk sehingga tiga juta orang berbanding 1.6 juta ketika ini.

Menurutnya, metropolis di seluruh dunia mempunyai nisbah pengangkutan persendirian kepada pengangkutan awam 30:70 dan Iskandar Malaysia meletakkan sasaran 50:50 berbanding 80:20 pada hari ini.

"Kita gunakan pendekatan dua hala, satu adalah kempen kesedaran dan pada masa sama pihak pembekal menyediakan sistem pengangkutan awam yang efektif dan selesa. Kalau tidak kempen apa pun tidak akan memihak kepada kesedaran, kerana ia perlu berjalan secara seimbang.

"Pandangan saya, pembangunan di Malaysia sebelum ini lebih tertumpu kepada kenderaan persendirian jadi bila kita perkenalkan sistem pengangkutan awam dan perbandaran yang mengutamakan pejalan kaki, kita mahu wujud peralihan," katanya.

Tambahnya, peningkatan taraf pengangkutan awam perlu seimbang pelbagai mod iaitu keretapi, udara, jalan raya dan air yang membentuk rangkaian masa hadapan sebuah metropolis masa depan pada harga munasabah menerusi perancangan pada fasa awal pembangunan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment