My Add

Monday 25 February 2013

Israel minta Palestin reda ketegangan

 *SEKUMPULAN penunjuk perasaan berdiri di depan seorang askar Israel dalam
 satu pertempuran di Kampung Saair, Hebron semalam.

BAITULMUQADDIS, AHAD, 24 Februari, 2013: Israel semalam menyatakan pihaknya menghantar tuntutan kepada kepimpinan Palestin supaya mengekang kekacauan selepas beribu-ribu tahanan mengadakan mogok lapar di penjara-penjara Israel, manakala para penyokong mereka bertempur dengan pasukan keselamatan di Tebing Barat yang ditakluki rejim Zionis.

Menurut kenyataan Tel Aviv, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada masa yang sama mengarahkan pembayaran hasil cukai untuk bulan Januari yang dipungut oleh Israel bagi pihak Palestin dipindahkan kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Ia sebagai usaha untuk 'memujuk' PA campur tangan untuk meredakan ketegangan ekoran isu mogok lapar tersebut.

Protes di Tebing Barat semakin memuncak sebagai tanda sokongan kepada tahanan Palestin yang ditahan Israel dan bagi membantah perluasan penempatan haram Yahudi.

Seorang pegawai berkata, hampir semua tahanan Palestin di penjara-penjara Israel mengadakan mogok lapar semalam selama sehari bagi membantah kematian mengejut seorang tahanan yang didakwa pihak berkuasa penjara meninggal dunia akibat serangan jantung. AGENSI/KOSMO

No comments:

Post a Comment