Kekalkan perkongsian
KUALA LUMPUR, SABTU, 16 Februari, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat mengekalkan konsep perkongsian antara kaum demi keamanan, kemakmuran dan keharmonian negara.
Tegas Perdana Menteri, rakyat tidak boleh mengamalkan sikap memilih jalan sendiri mengikut 'selera' kaum tertentu.
"Konsep unik ini ada pada negara. Orang Cina terkenal sebagai bangsa yang kuat bekerja dan cekap dalam keusahawanan. Sebab itu mereka berjaya. Tetapi kejayaan mereka adalah kerana kerajaan sejak merdeka berjaya mewujudkan suasana negara yang membolehkan mereka mencari rezeki.
"Inilah yang mesti kita kekalkan secara berterusan. Dari awal kita kongsi kuasa dan kekayaan sehingga negara aman, makmur dan harmoni. Inilah mesej yang saya mahu tekankan," katanya.
Beliau berucap di hadapan lebih 50,000 orang yang hadir sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2013 di Taman Puchong Utama, Puchong, dekat sini malam ini.
Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek serta barisan kepimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN).
Sementara itu, Dr. Rais Yatim berkata, rakyat Malaysia perlu menyedari hakikat segala pembaharuan yang dibawa kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui pelbagai program transformasi berjaya menjadikan kehidupan masyarakat lebih baik.
Katanya, apa yang dilakukan kerajaan BN menunjukkan ia mengotakan janji yang dibuat, tidak seperti pembangkang yang hanya pandai menabur janji kosong.
"Rakyat Malaysia perlu berfikir tentang pembaharuan transformasi yang telah dilakukan (BN). Orang lain hanya pandai cakap sahaja tetapi tidak dapat buat sesuatu," katanya.
Rais berkata, sambutan meriah malam ini mencerminkan masyarakat Tionghua sentiasa menyokong usaha murni kerajaan pimpinan Najib, yang telah memperkenalkan pelbagai program transformasi yang banyak membawa manfaat kepada mereka. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment