My Add

Friday 1 February 2013

Kepimpinan Najib bawa pelbagai perubahan

 BERA, JUMAAT, 01 Februari, 2013: Rakyat perlu mengakui bahawa kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri membawa pelbagai perubahan untuk kesejahteraan rakyat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, sekali pun belum genap empat tahun memimpin negara, Perdana Menteri berjaya membawa pelbagai perubahan dan amat prihatin dengan setiap masalah rakyat.

"Kita yakin rakyat akan terus memberikan kepercayaan dan sokongan kepada perdana menteri bagi mengekalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti," katanya ketika menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada penduduk kawasan Parlimen Bera di Kompleks Rakan Muda, Kerayong, di sini, hari ini.

Beliau berkata, BRIM misalnya, adalah satu bentuk bantuan yang dicetuskan perdana menteri bagi membantu golongan berpendapatan rendah untuk mengurangkan kos dan bebanan tanggungan mereka.

"Selain BRIM, pelbagai bantuan telah diberikan seperti bantuan persekolahan, Perumahan Rakyat 1Malaysia, bantuan kepada pelajar pusat pengajian tinggi, Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik Rakyat 1Malaysia dan pelbagai lagi.

"Semua ini adalah untuk menafaat semua pihak, setiap lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman ideologi politik, bangsa dan agama," katanya.

Beliau berkata, rakyat berhak menaruh kepercayaan kepada kepimpinan perdana menteri untuk terus membawa negara mencapai wawasan negara maju menjelang tahun 2020. 

"Berilah sokongan, kepercayaan dan tempoh masa yang cukup kepada perdana menteri supaya lebih banyak lagi perubahan akan dilaksanakan bagi kepentingan rakyat dan negara," katanya.

Beliau berkata melalui pemikiran rasional, rakyat pastinya sedar bahawa ketika dunia sedang menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, kerajaan BN masih mampu untuk memberikan pelbagai bantuan dan dana kepada rakyat.

"Ini membuktikan kerajaan BN bijak dalam menguruskan ekonomi dan tadbir negara," katanya.

Beliau berkata, walaupun kerajaan menanggung pelbagai subsidi berbilion ringgit termasuk subsidi minyak mencecah RM20 bilion bagi tahun ini, namun kerajaan masih mampu menyalurkan peruntukan dan bantuan kepada rakyat.

"Kita harap rakyat bersikap terbuka dan terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada kerajaan BN untuk meneruskan agendanya yang mengutamakan kesejahteraan rakyat," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment